BN Masuk Perangkap PAS - Tuan Ibrahim

Diterbitkan: Sabtu, 26 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu memasuki 'perangkap politik' PAS apabila mengandaikannya bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Tuan Ibrahim berkata, ura-ura yang mengatakan beliau akan bertanding di kawasan berkenaan sebelum ini telah berjaya memerangkap BN apabila parti itu dilihat menyerang peribadinya termasuk membangkitkan isu bukan anak tempatan.

"Ini strategi politik. Daripada awal, sebagai pengerusi mesyuarat saya memang mencalonkan Hassanuddin Salim dan kebetulan (PAS) negeri dan Pusat juga terima.

"Jadi kita anggap bahawa ini satu strategi, dan kita boleh tengok bahawa pihak media dan BN menyerang peribadi saya macam-macam termasuk bangkitkan isu saya bukan orang tempatan," katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, Sabtu.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan saingan satu lawan satu antara PAS dan BN.

PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43, manakala BN mempertaruhkan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44.

Mengulas lanjut, apabila PAS menamakan Hassanudin sebagai wakil parti itu, ia sekali gus telah menutup isu calon anak tempatan yang dibangkitkan Umno sebelum ini.

"Saya fikir di peringkat awal mereka termasuk perangkap apabila mereka timbulkan isu calon mesti anak tempatan.

"Dan akhirnya sekarang apabila kita benar-benar letak calon anak tempatan, saya fikir kita telah berjaya menutup mulut mereka mengenai isu berkenaan,' katanya.

Mengulas mengenai peluang parti itu untuk menang di DUN Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan berkenaan itu berkata, sehingga kini beliau meletakkan peluang 50-50 bagi kedua-dua pihak sama PAS mahupun BN.

Ditanya mengenai pola sokongan pengundi mengikut pecahan kaum, Tuan Ibrahim berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau yakin pengundi di kalangan bukan Melayu akan memberi sokongan kepada PAS selain mengharapkan sokongan lebih 80 peratus pengundi Melayu dalam kawasan berkenaan.

"Kita yakin dengan mood yang ada, pengundi-pengundi Cina akan beri sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Walaupun segmen Melayu lebih besar, kita harapkan jentera PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) mampu untuk buat kejutan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan