Penuntut Malaysia Boleh Kembali Ke Mesir Mulai 12 Mac

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir boleh kembali ke negara itu untuk menyambung pengajian mereka mulai 12 Mac ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan pasukan khas negara dengan universiti-universiti di negara itu sejak Ahad lepas hingga Khamis bagi menentukan tarikh mula pengajian.

Penuntut bagaimanapun diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara mengenai kepastian tahap keselamatan di Mesir sebelum kembali ke sana, katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mohamed Khaled berkata hasil pertemuan dengan universiti di sana itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Universiti Kaherah akan memulakan semula pengajian perubatan peringkat pengajian pra klinikal dan klinikal pada 12 Mac ini.

Begitu juga dengan Universiti Al-Azhar yang turut memulakan pengajian program pergigian pra dental pada hari yang sama, katanya.

Mohmaed Khaled berkata program perubatan di semua peringkat pengajian di Universiti Al-Azhar pula akan bermula pada 15 Mac, manakala penuntut program Pengajian Islam perlu mendaftar semula selewat-lewatnya 8 April.

Beliau berkata Universiti Iskandriah akan memulakan pengajian farmasi mulai 17 Mac dan diikuti program pra klinikal perubatan pada 19 Mac, klinikal pada 26 Mac dan pergigian pada 2 April.

Universiti Mansurah pula akan memulakan pengajian bagi program perubatan klinikal bermula 15 Mac dan pra klinikal pada 19 Mac, manakala program pergigian dan farmasi pula bagi semua peringkat pengajian bermula pada 19 Mac.

Bagi program perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Tanta, Zagazig dan Ain Shams, tarikh pengajian akan bermula pada 15 Mac bagi semua peringkat pengajian, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan