Najib Lancar Yayasan Bantuan Guaman

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang ditubuhkan hasil inisiatif kerajaan dan Majlis Peguam Malaysia untuk menyediakan khidmat bantuan guaman kepada golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun.

Perdana Menteri berkata yayasan itu akan dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia.

"Keadilan merupakan prasyarat kepada negara dan rakyat yang maju dan berjaya," katanya melancarkan yayasan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Yayasan itu mengandungi 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala Presiden Majlis Peguam K.Ragunath adalah Timbalan Pengerusi.

Ia akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, Abdul Gani dan Ragunath.

Najib berkata 80 peratus Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes-kes jenayah, tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan untuk membayar fi yang tinggi.

Katanya Majlis Peguam telah mencadangkan supaya sebuah yayasan ditubuhkan bagi membantu OKT yang kurang berkemampuan mendapatkan khidmat peguam dan kabinet bersetuju dengan cadangan itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta sebagai tanda sokongan padu untuk membiayai perjalanan yayasan itu bagi menegakkan keadilan dan menjamin hak yang sama rata di sisi undang-undang kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya ingin menyatakan di sini, peruntukan kewangan tidak seharusnya menjadi kekangan untuk mendapatkan keadilan. Justeru, jika tidak mencukupi, kita akan berusaha untuk mencari sumber kewangan tambahan," katanya.

Najib berkata penubuhan YBGK ialah sebahagian usaha sebuah kerajaan yang bertanggungjawab selaras dengan Gagasan 1Malaysia.

"Penubuhannya bukan bermakna kerajaan hendak membela golongan penjenayah," katanya.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, yayasan itu akan memastikan semua yang dituduh melakukan jenayah dapat menjalani perbicaraan di mahkamah dengan penuh keadilan dan ketelusan, selaras dengan Fasal (3) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya peguam-peguam yang menjadi panel YBGK akan memberi perkhidmatan dengan bayaran yang minimum.

Perdana Menteri berharap lebih ramai peguam yang menjadi anggota Majlis Peguam tampil memberi khidmat bakti bagi melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

"Ini dapat mengelakkan kes-kes di mana OKT menerima hukuman yang berat dalam mahkamah semata-mata kerana mereka tidak diwakili oleh peguam bela, lalu telah mengaku bersalah berikutan tidak dapat membuat pembelaan yang berkesan," kata Najib.

Beliau berkata dengan wujudnya YBGK, perkhidmatan bantuan guaman dan khidmat nasihat boleh diberikan kepada semua warga negara, sama ada berkemampuan atau tidak berkemampuan bagi semua jenis kesalahan jenayah, di peringkat tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin.

Bagaimanapun, Najib berkata bantuan tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan melantik peguam untuk mewakili tertuduh yang tidak mempunyai peguam.

Katanya YBGK adalah pelengkap kepada perkhidmatan bantuan guaman yang diberi Jabatan Bantuan Guaman di Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam.

YBGK bukan agensi kerajaan tetapi entiti berbentuk syarikat khairat yang bebas dan neutral dalam melaksanakan tugasnya, kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata Jabatan Bantuan Guaman dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam juga akan meneruskan peranan mereka seperti biasa.

Mengenai kerjasama antara YBGK dan agensi penguatkuasaan yang termeterai menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dan disaksikan beliau, Najib berkata langkah itu bagi memastikan keberkesanan YBGK.

"Apabila seseorang ditangkap atas kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi penguatkuasaan lain untuk menghubungi peguam panel YBGK melainkan jika orang yang ditangkap itu hendak mengupah peguamnya sendiri," katanya.

Najib juga berkata sehingga kini sebuah firma guaman Tetuan Shearn Delamore & Co telah bersetuju untuk berperanan sebagai setiausaha syarikat secara percuma kepada YBGK. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan