Hassanuddin Calon Terbaik - Tuan Ibrahim - Berita Semasa | mStar

Hassanuddin Calon Terbaik - Tuan Ibrahim

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hassanuddin Salim diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Kecil (DUN) Kerdau 6 Mac ini oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. - Foto BERNAMA
Hassanuddin Salim diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Kecil (DUN) Kerdau 6 Mac ini oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. - Foto BERNAMA

TEMERLOH: Pemilihan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim sebagai calon parti itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau adalah bertepatan dengan kehendak pengundi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Hassanuddin adalah calon terbaik yang mempunyai ketrampilan bagi memenangkan Pakatan Rakyat.

"Walaupun beliau pernah bertanding di sini dahulu dan tewas, namun kita yakin kali ini beliau boleh menang," katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon di sini, Khamis malam.

Hassanuddin bakal berhadapan dengan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kawasan itu yang akan berlangsung 6 Mac depan.

Pada pilihan raya umum 2008, Hassanuddin tewas dengan majoriti besar iaitu 1,615 undi dengan wakil BN, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang memperoleh 4,135 undi.

Hassanuddin memperoleh 2,520 undi.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau berkata, beliau yakin Hassanuddin mampu meraih sokongan pengundi pada pilihan raya kali ini.

"Dengan ketrampilan yang ada padanya, saya yakin sasaran untuk dapatkan kembali majoriti berkenaan akan tercapai," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan