1Malaysia Bantu Selesai Masalah Bekalan Air Bagi 100,000 Penduduk Labuan

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Lebih daripada 100,000 penduduk di sini boleh menaruh harapan agar krisis bekalan air yang menimpa mereka sejak 2009 akan selesai dengan siapnya fasa dua projek saluran paip dasar laut.

Projek saluran paip dengan kos RM387 juta yang menganjur kira-kira 25.7 km dari Sungai Padas, Beaufort ke pulau ini dijangka menjana tambahan 38 juta liter air setiap hari untuk kegunaan domestik dan industri gas dan minyak yang sedang melonjak.

Pada masa ini, Labuan mendapat 60 juta liter air sehari dan dengan siapnya projek itu, pulau itu akan mendapat tambahan bekalan air, meningkat kepada 96 juta liter dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat sehingga tahun 2020. Pada masa ini, permintaan bekalan air di Labuan ialah 56 juta liter sehari.

Saluran paip itu menghubungkan empat loji rawatan - Sg Pagar, Kerupang, Jalan Kolam dan Bukit Kuda dengan 27 takungan.

Dengan siapnya saluran paip ini, masalah bekalan air di Labuan itu bukan sahaja akan menjadi satu perkara yang telah berlalu tetapi pada masa yang sama, ia menunjukkan keprihatinan kerajaan Persekutuan mengutamakan keperluan penduduk pulau ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dengan apa yang dilihat sebagai satu manifestasi jelas mengenai perhatian yang mendalam bagi kesejahteraan penduduk Labuan, Najib akan melawat Labuan Sabtu, bagi merasmikan projek saluran paip yang akan membawa kegembiraan kepada penduduk tempatan.

Sejak beberapa tahun, berikutan pembangunan pesat, pulau ini mula menghadapi catuan bekalan air yang melibatkan pengguna di 27 perkampungan di pulau ini mengakibatkan operasi loji 1 Methanol Petronas ditutup. Ia beroperasi semula bau-baru ini.

Pada 2004, kadar penggunaan air harian dilaporkan sebanyak 34 juta liter sehari dengan lebihan sejuta liter air. Tetapi kini ia melonjak kepada 56 juta liter sehari dengan Jabatan Bekalan Air Labuan mencari jalan keluar dengan membina telaga tiub bagi mengatasi masalah itu.

Sejumlah 27 telaga seperti ini telah siap dibina dengan kapasiti menjana bekalan air sebanyak sembilan juta liter sehari. Pada tahun yang sama, kerajaan meluluskan pembinaan fasa dua projek saluran paip tetapi projek itu tergendala atas sebab-sebab tertentu.

Kekurangan air di Labuan selepas pembinaan loji Methanol Petronas adalah kira-kira 25 peratus yang memerlukan sekurang-kurangnya 12 juta liter sehari bagi dua lojinya.

Fasa satu projek saluran paip itu bernilai RM150 juta disiapkan pada 1989 dan hanya mampu menjana 36 juta liter air sehari bagi memenuhi permintaan dan pembangunan pesat di pulau ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Airnya Sulaiman Kamisan berkata Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi telah melakukan yang terbaik bagi memastikan bekalan yang mencukupi bagi pengguna di pulau ini.

"Kita perlu berterima kasih atas kesabaran pengguna yang menghadapi kekurangan bekalan air sejak sekian lama. Ada ketikanya kami berasa, ia di luar kawalan kami. Kami tidak mahu perkara ini terjadi (kekurangan air)," katanya.

Beliau berkata pembinaan telaga-telaga tiub dan empat loji rawatan adalah antara pelan sokongan bagi keadaan di luar jangka, "seperti jika sesuatu berlaku kepada hubungan dari Sungai Padas, kemarau atau keadaan cuaca."

Sementara itu, orang ramai di pulau bebas cukai ini melahirkan penghargaan, berhubung berakhirnya episod krisis bekalan air, atas keprihatinan Perdana Menteri yang sudi datang ke Labuan untuk melihat sendiri keadaan sebenar dan merasmikan fasa dua sistem bekalan air itu.

Seorang ibu tunggal, Limah Bakri, 45, berkata kekurangan air pada masa lepas telah meningkatkan kebimbangan mengenai risiko akibat penyakit yang timbul akibat keadaan yang tidak bersih kerana dilemma itu telah menyebabkan sesetengah orang menggunakan pantai dan laut sebagai tandas.

Bagaimanapun, bahaya paling besar ialah merebaknya penyakit-penyakit dari amalan yang tidak bersih itu, katanya.

"Tapi, krisis air itu kini telah menjadi satu perkara yang telah lepas, kami mempunyai sebab untuk tersenyum dan menarik nafas lega, kerana ia telah kembali seperti biasa, terima kasih atas perhatian kerajaan," katanya.

Seorang lagi penduduk Labuan, Abdullah Ahmad, yang sedih berhubung masalah kesihatan, berkata: "Untuk membersihkan badan anda perlu air. Tak guna diajar mengenai kebersihan, jika kami tidak boleh mendapat bekalan air.

"Wanita kebanyakannya perlu menunggu dan mendapatkan air apabila tangki air datang. Kebanyakan kami letih kerana terpaksa mengangkut sejumlah besar air menggunakan baldi dan bekas lain setiap hari."

"Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan projek itu siap, yang membolehkan kami kembali menjalani hidup yang normal tanpa perlu menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan air," katanya.

Suri rumah, Khatijah Jistoh, 28, berkata semasa krisis air, beliau perlu menziarah anggota keluarganya hanya semata-mata untuk mandi dan membasuh pakaian.

"Jika tak ada bekalan air, kami terpaksa menggunakan air yang tidak bersih dari telaga yang kami gali. Sudah tentu kami tidak boleh minum air itu. Kami terpaksa beli berkotak-kotak air minuman dari kedai," katanya.

Khatijah berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri pada umumnya dirasai oleh rakyat Malaysia, kerana banyak isu melibatkan orang ramai dapat diselesaikan terutama bekalan air.

Masalah air juga memberi tekanan kepada kira-kira 4,000 pelajar di dua institusi pengajian tinggi di sini iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kolej matrikulasi kerana bekalan air ke hostel-hostel mereka adalah perlahan sehingga ke peringkat hanya titisan air, pada masa lalu.

Mereka bergantung kepada lori tangki dari Jabatan Bekalan Air untuk bekalan tambahan, sama seperti penduduk di pulau ini.

"Tak ada setitik air dari paip untuk diminum, apa lagi untuk mandi," kata seorang pelajar UMS dari pedalaman Sarawak, yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul Wahid.

"Saya tidak pernah terfikir akan menghadapi masalah seperti ini apabila memasuki UMS awal tahun ini. Saya ingin kelihatan segar setiap kali kelas bermula. Malangnya, tak ada air untuk mandi, membasuh muka, malah untuk memberus gigi (di hostel)," katanya.

"Labuan bukan kawasan terpencil berbanding kawasan saya di Sarawak. Saya bukan tinggal di kawasan terpencil di sini. Sesiapa yang bangun awal berpeluang untuk mandi. Paling teruk sekali, tandas berbau busuk kerana tiada air."

Seorang kakitangan di Unit Hal Ehwal Pelajar kolej matrikulasi itu berkata terdapat 2,348 pelajar menuntut di kolej itu dengan majoritinya berasal dari Sabah dan Sarawak, dengan sebilangan kecil dari semenanjung.

"Ramai ibu bapa pelajar menghubungi kami berikutan masalah air ini, tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa. Ia di luar kawalan kami. Ia merupakan masalah yang tidak dijangka, kami tidak pernah menghadapi masalah ini sebelum ini," katanya.

Malah beberapa pensyarah memohon untuk ditukarkan dengan menyatakan masalah air sebagai sebab untuk berbuat demikian dan para pelajar memberitahu mereka juga mahu berhenti.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah beberapa kali membangkitkan isu itu di Parlimen.

"Kita patut berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan mereka bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan." - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan