Kerajaan Hantar Pesawat C-130 Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Libya

Diterbitkan: Khamis, 24 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menghantar sebuah pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi menyelamat dan membawa pulang 190 rakyat Malaysia di Libya.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pesawat tersebut kini telah mendarat di Slovakia.

"Pesawat itu kemudian akan ke Rome, Itali sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Tripoli, Libya untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Mohamed Thajudeen berkata, bagaimanapun pesawat C-130 itu masih menunggu untuk mendapat kebenaran mendarat daripada pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli.

Beliau berkata, pesawat C-130 itu diarah untuk membuat operasi menyelamat dan membawa pulang 190 rakyat Malaysia di Libya kerana kebetulan ia berada di Eropah untuk tugasan.

Sementara itu, menurut jurucakap TUDM, sebuah lagi pesawat milik TUDM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Pangkalan TUDM Subang dan bersedia untuk membantu operasi membawa pulang rakyat Malaysia di Libya sekiranya perlu.

Negara itu bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan