Hubungan Malaysia-Turki Ke Arah Perkembangan Lebih Memberangsangkan - Najib

Diterbitkan: Khamis, 24 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISTANBUL: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beberapa keputusan yang dicapai antara Malaysia dan Turki hasil lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu sejak Isnin lepas, akan meletakkan hubungan antara kedua-dua negara ke arah perkembangan yang lebih memberangsangkan pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata keputusan-keputusan yang dicapai itu menunjukkan bahawa Turki sebenarnya inginkan hubungan yang lebih bermakna dan strategik dengan Malaysia.

Antara hasil pertemuan empat mata antara Najib dan rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan, di ibu negara Turki, Ankara, pada Selasa dan pada mesyuarat delegasi kedua-dua negara selepas itu, ialah persetujuan kedua-dua pihak untuk menandatangani satu perjanjian yang antara lain akan menggariskan bidang-bidang yang dianggap strategik oleh kedua-dua negara untuk dimajukan bersama.

Najib berkata demikian pada sidang akhar di sini pada Rabu sebelum beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Malaysia.

"Saya mendapati lawatan ke Turki ini sangat bermakna sebab mereka dah lama menunggu Perdana Menteri Malaysia melawat Turki. Mereka selalu sebut 28 tahun telah berlalu, belum ada lawatan bilateral," katanya.

Kedua-dua negara bersetuju untuk menandatangani dua perjanjian -- Perjanjian Rangka Kerja Strategik dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) -- menjelang akhir tahun ini.

Najib berkata Perdana Menteri Turki telah bersetuju untuk melawat Malaysia bagi tujuan menandatangani dua perjanjian itu.

Mengenai keputusan kedua-dua negara menghapuskan keperluan visa bagi rakyat masing-masing melawat negara satu sama lain berkuat kausa serta merta, Najib berkata ia memberi satu isyarat yang amat kuat bahawa hubungan antara kedua-dua negara akan menjadi lebih mudah jika perjalanan antara kedua-dua negara serta perhubungan dan pergerakan antara rakyat dapat dilonjakkan.

"Dan saya percaya dengan penghapusan keperluan visa ini kita akan dapati bahawa bukan sahaja bidang pelancongan tetapi hubungan antara rakyat bersama rakyat akan dapat dikembangkan lagi," katanya.

Beliau berkata cadangan Erdogan supaya jumlah dagangan antara kedua-dua negara ditingkatkan daripada US$1.3 bilion kepada US$5 bilion menggambarkan keazaman pemimpin Turki itu untuk menggesa sektor swasta antara kedua-dua negara mencari peluang untuk meningkatkan bidang kerjasama perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

Najib berkata antara kekuatan yang terdapat kepada syarikat-syarikat Turki ialah dalam bidang pembinaan memandangkan mereka mendapat banyak kontrak di Rusia, Afrika Utara dan di negara-negara bekas Asia Tengah.

"Jadi ini menunjukkan bahawa kalau kita dapat bekerjasama dengan mereka, kita dapat peluang untuk mencari pasaran baru bagi syarikat-syarikat Malaysia dalam bidang binaan," katanya.

Turki juga, katanya, mempunyai kekuatan dalam bidang pengeluaran tekstil yang juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia selain bidang minyak dan gas yang merupakan satu lagi sektor di mana kerjasama antara Petronas dan syarikat petroleum negara Turki boleh diperluaskan lagi.

Najib berkata Malaysia akan mengkaji sedalam-dalamnya kemungkinan untuk pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton, mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat Turki dalam bidang automobil kerana negara ini mendapat pasaran besar eksport dalam bidang berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerjasama dalam bidang ketenteraan yang sudah begitu kukuh akan menjadi lebih mantap apabila Malaysia bersetuju untuk mewujudkan hubungan jangka panjang dengan syarikat pengeluar kereta perisai tentera dan persenjataan perang terkemuka Turki, FNSS Defense Systems Inc, daripada segi bekalan peralatan baru untuk Tentera Darat Malaysia.

"Kita juga melihat kepada cara-cara untuk meningkatkan profil Turki dan Malaysia di mana (sambutan) hari 'Minggu Turki' akan diadakan di Malaysia dan 'Minggu Malaysia' akan diadakan di Turki pada masa yang akan kita tentukan (kelak)," katanya.

Najib juga berkata cara pentadbiran Turki dan Malaysia kini disebut sebagai model yang baik untuk dijadikan ikutan oleh negara-negara Islam yang lain.

"Ini juga pada saya merupakan satu pengiktirafan yang sangat besar bahawa apa yang kita dah buat di Malaysia mendapat pengiktirafan kerana kita telah berjaya memenuhi jangkaan rakyat dan membuat transformasi kepada negara kita. Dan dalam konteks Turki pun, mereka lihat demokrasi di Turki ini telah menyebabkan pentadbiran yang lebih berkesan, lebih baik, terutama sekali dari segi ekonomi dan juga dari segi hak asasi.

"Walaupun ada juga perbezaan tertentu dari segi cara kita, pentadbiran Malaysia dan Turki, tetapi pada umumnya, ini dua model yang sangat baik untuk dijadikan ikutan terutama sekali kepada dunia Islam," kata beliau.

Ditanya kenapa baru sekarang Turki menunjukkan minat besar untuk mempertingkatkan tahap hubungan dua halanya dengan Malaysia, Najib berkata ia mungkin disebabkan mereka kini dapat melihat prospek Malaysia terutama daripada segi ekonomi, hasil prestasinya yang bertambah baik.

"Dan mereka juga sedar yang kita mempunyai pelan hala tuju yang jelas dari segi Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Eknonomi kita dan sebagainya. Jadi, mereka tertarik dengan hala tuju kita yang baru ini dan sebab itu mereka sangat minat untuk adakan hubungan dengan Malaysia dan kita juga melihat bahawa keadaan di Turki ini dah pulih, terutama sekali dari segi ekonomi mereka.

"Kalau dulu inflasi mereka satu ketika itu 110 peratus, jadi dalam keadaan tak menentu pada masa itu, amat sukar bagi kita nak mengadakan hubungan yang lebih mendalam dalam bidang ekonomi tapi bila mereka dah dapat memulihkan keadaan dan inflasi sekarang ini enam peratus dan mereka dapat pertumbuhan yang tinggi untuk tahun 2010, bererti bahawa keyakinan terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal di Turki dan juga kestabilan politik di sini amat jelas, dan begitu juga saya percaya mereka mempunyai keyakinan yang sama terhadap Malaysia," kata Perdana Menteri.

Selain pertemuan dengan Erdogan, beliau turut mengunungi Presiden Turki, Abdullah Gul di Istana Presiden di sini pada Isnin.

Sepanjang lawatan tiga hari itu Najib turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa anggota Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

Najib turut mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Turki selain mengambil bahagian dalam persidangan Pergerakan Sedunia Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia dan International Movement for a Just World (JUST). - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan