5,000 Kaum India Di Seluruh Negara Berjaya Didaftarkan Menerusi Kempen MyDaftar

Diterbitkan: Khamis, 24 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Kira-kira 5,000 daripada kalangan kaum India didaftarkan melalui Kempen 'MyDaftar' yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara bermula 19 Feb lepas.

Datuk N.Siva Subramaniam, penasihat kepada jawatankuasa khas kabinet bagi masyarakat India, berkata kesemua mereka telah mendapat pengenalan diri masing-masing dan jumlah itu akan meningkat sebelum kempen itu berakhir Sabtu ini.

"Masih ramai yang sedang menunggu untuk melakukan demikian. Ini merupakan antara masalah yang dihadapi kaum India di seluruh negara apabila masih ramai di kalangan mereka menjadi pemegang kad pengenalan merah, walaupun dilahirkan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan kempen itu di pejabat JPN Daerah Manjung, Seri Manjung di sini, Khamis.

Beliau berkata kempen MyDaftar dijalankan bagi menyelesaikan masalah pendaftaran serta kerakyatan rakyat di negara ini di mana terdapat banyak kes mereka yang berumur antara 55 dan 80 tahun ke atas masih memegang kad pengenalan merah.

Katanya selain itu, kempen berkenaan memberi keutamaan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran walaupun mereka dilahirkan di negara ini.

Bagi mempercepatkan proses pendaftaran, Subramaniam berkata kementeriannya melatih sukarelawan untuk membantu mereka yang berkenaan mengisi borang pendaftaran.

"Pendekatan ini diambil kerana kita sedar kebanyakan mereka yang terlibat khasnya pemegang kad pengenalan merah merupakan golongan buta huruf," katanya.

Kebanyakan sukarelawan yang dilatih merupakan pegawai kerajaan yang telah bersara termasuk daripada kalangan guru.

Beliau berkata kementeriannya juga akan membantu golongan di bawah paras kemiskinan daripada segi kewangan termasuk membayar denda tertentu.

Program 'My Daftar' bagi masyarakat India mulai 19 hingga 26 Feb itu antara usaha kerajaan menangani masalah yang dihadapi rakyat Malaysia berketurunan India yang tidak mempunyai dokumen berkaitan kelahiran, pengenalan dan kewarganegaraan.

Ia dianjurkan Pasukan Pelaksanaan Petugas Khas mengenai masyarakat India dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan