Kerajaan Disaran Pertimbang Utamakan rakyat Sabah Jadi Guru

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Kementerian Pelajaran diminta mempertimbangkan cadangan agar rakyat Sabah diberi keutamaan bagi mengikuti kursus perguruan di institut latihan perguruan yang ada di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata cadangan itu bagi mengurangkan kadar penghijrahan guru berkualiti dan berpengalaman dari Sabah.

"Sabah sering kehilangan guru-guru berkualiti dan berpengalaman apabila guru terbabit kembali ke negeri asal mereka di Semenanjung. Bagaimanapun, ini tidak bermakna orang Sabah menolak kehadiran guru-guru dari Semenanjung untuk mengajar dan menabur bakti dalam bidang pendidikan di negeri ini," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beliau berkata dengan mengutamakan rakyat tempatan yang berkelayakan, masalah penghijrahan tersebut dapat diatasi.

Tawfiq mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini bahawa kementerian itu akan terus menghantar guru-guru dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah. Tawfiq turut mencadangkan kepada kementerian tersebut agar memberi peluang kepada guru sandaran di negeri itu mengikuti latihan perguruan menerusi program Kursus Dalam Cuti.

"Tanpa memberi peluang kepada mereka berkursus, secara tidak langsung Jabatan Pelajaran akan mewujudkan golongan penganggur," katanya.

Tawfiq yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau sebelum itu merasmikan penangguhan Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Zon Bandar Selatan, di SK Batu Payung di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan