Najib Tiba Di Istanbul Sempena Lawatan Rasmi

Diterbitkan: Selasa, 22 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISTANBUL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini, Isnin untuk lawatan rasmi tiga hari bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala yang cemerlang antara Malaysia dan Turki.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Turki sejak beliau menjadi perdana menteri pada April 2009.

Perdana Menteri diiringi oleh isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Amah; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Parlimen dan pegawai kanan kerajaan.

Anifah berkata bahawa lawatan ini akan menyediakan peluang cemerlang untuk Najib dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk memperbaharui persahabatan mereka dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di sini pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan (12 malam waktu Malaysia).

Najib kemudian membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Abdullah Gul di Tarabya Residence di sini sebelum berlepas ke Ankara.

Di Ankara, atur cara lawatan termasuk pertemuan dengan rakan sejawatannya Erdogan serta satu mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turki yang diketuai oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Najib juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara SME Corp.

Malaysia dan KOSGEB (Pertubuhan Usahawanan Kecil dan Sederhana), Turki dan perjanjian antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd, Malaysia dan FNSS Savunma Sistemleri A.S., Turki.

Beliau juga dijadual menyertai Mesyuarat Meja Bulat Tokoh Perniagaan Malaysia-Turki anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Global Movement for Justice, Peace and Dignity yang dianjurkan bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan International Movement for a Just World (JUST). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan