Sultan Johor Pandu Tren Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Diterbitkan: Isnin, 21 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin, berangkat untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-223 yang bermula Rabu ini di Kuala Lumpur dengan menaiki tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata baginda bersama pegawai-pegawai istana bertolak dari stesen JB Sentral ke Stesen Kuala Lumpur pada pukul 9.15 pagi dengan menggunakan tren Ekspres Rakyat yang dipandu baginda sendiri.

Baginda memandu tren tersebut hingga ke Stesen Kluang sebelum berehat seketika dan memandu semula dari Stesen Seremban hingga ke destinasi terakhir iaitu Stesen Kuala Lumpur.

Tren itu turut membawa hampir 350 penumpang lain.

Ini merupakan kali kedua baginda memandu lokomotif dengan gerabak penumpang selepas menerima lesen memandu lokomotif berkuasa tinggi pada Program Kembara Mahkota Johor yang berlangsung dari 26 hingga 28 Julai tahun lalu.

Selain itu, Sultan Ibrahim akan diperkenalkan dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terbaru milik KTMB setibanya baginda di Stesen Kuala Lumpur.

ETS yang memberikan perkhidmatan perjalanan dari Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh merupakan generasi kedua tren elektrik yang beroperasi pada kelajuan maksimum 160km sejam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan