Semua Keputusan Yang Dibuat Perlu Tepat - Najib

Diterbitkan: Isnin, 21 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai peneraju negara beliau sentiasa memastikan semua keputusan yang dibuat adalah betul dan tepat bagi membolehkan Malaysia terus maju dan makmur.

Perdana Menteri berkata beliau perlu tenang tanpa memberi ruang bagi panik, cemas atau menggelabah dalam apa juga situasi kerana sebarang keputusan yang diambil dalam keadaan itu, mungkin tidak tepat atau tidak membawa kejayaan yang diharapkan.

Katanya pengalamannya dalam politik hampir 35 tahun dengan mengharungi pelbagai krisis, membolehkan beliau tabah terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam menerajui negara ini.

"Saya tak boleh nampak menggelabah ataupun cemas kerana dalam apa juga situasi sebagai pembuat keputusan muktamat bagi negara ini, saya perlu bertenang. Kalau kita bertenang kita boleh berfikir, kalau kita cemas, panik dan menggelabah kita tidak boleh berfikir dengan baik dan rasional. Kalau kita tidak berfikiran rasional kita mungkin mengambil keputusan salah," katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Naserudin Abdul Fatah dari Perak pada Jamuan Petang 1Malaysia dan Sesi Dialog Bersama Rakan Internet di Perkarangan Seri Perdana, di sini pada Ahad.

Menjawab soalan S. Thulasingam dari Selangor berhubung langkah kerajaan membangunkan sukan bola sepak negara, Najib berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM20 juta untuk mendirikan Akademik Bola Sepak yang akan dikendalikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (PBM).

Katanya kejayaan pasukan negara Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki Cup buat kali pertama tahun lepas, jelas menunjukkan bahawa ketetapan dan usaha yang diambil bagi memantapkan mutu sukan bola sepak berjalan lancar.

"Kita cuba banyakkan bentuk piramid dalam bola sepak. Mereka yang muncul ke atas sebagai impak kepada piramidnya bilangannya kecil tetapi dasar atau asas itu yang besar. Kalau dasar piramid itu tak besar, bilangan yang akan naik itu semakin menguncup. Jadi usaha awal untuk membangunkan bola sepak itu penting sebab ia merupakan sukan nombor satu di Malaysia," katanya.

Menurutnya, lebih banyak aktiviti dan kejohanan perlu diadakan di peringkat sekolah dan daerah bagi mencungkil bakat-bakat baru sejak mereka di bangku sekolah sekaligus memperbanyakkan kelengkapan bersukan termasuk padang permainan.

"Kita juga telah mendirikan sekolah-sekolah sukan. Salah satu sebab mengapa Pasukan Harimau Malaya kita begitu berjaya kerana mereka telah bersama-sama di sekolah sukan sejak tingkatan tiga lagi, di mana 17 daripada 25 anggota pasukan Harimau Malaya merupakan lulusan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang saya telah tubuhkan ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu," katanya.

Najib yakin masa depan sukan bola sepak begitu cerah memandangkan pasukan bimbingan K. Rajagobal kini menunjukkan prestasi yang baik.

"Saya percaya Malaysia boleh mencipta kejayaan dalam bola sepak. Sebab itu, bila mereka mempelawa saya untuk tengok perlawanan separuh akhir, minta saya duduk atas Jalan Bukit Bintang pun saya sanggup atas jalan bersama rakyat Malaysia."

"Tak pernah dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri tengok permainan bola sepak duduk atas jalan. Saya duduk di atas jalan kerana saya nak tunjuk bahawa tidak ada status dan penghadang bila menyokong pasukan negara," kata beliau.

Menjawab soalan Ainul Aizat Ishak dari Kuala Lumpur berhubung lagu yang beliau minati, Najib berkata beliau lebih meminati lagu-lagu tahun 70-an dan 80-an berbanding lagu sekarang.

"Saya sememangnya tidak memahami muzik yang anak saya meminatinya. Namun ada beberapa lagu baru Melayu yang saya suka. Saya lebih kepada pendengar biasa, biasanya suka mendengar ketika saya bersenaman di 'treadmill', ketika menonton History Channel sama ada mengikuti berita atau mendengar lagu," kata Perdana Menteri.-BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan