Tindakan MCA Mahu Adakan EGM Adalah Wajar - Kong

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Langkah MCA mahu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bulan depan bagi meminda perlembagaannya dan membenarkan pemilihan parti itu ditangguh adalah wajar.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata ini kerana kebanyakan perwakilan pusat parti itu menandatangani rekuisisi untuk mengadakan EGM berkenaan.

"Saya dengar kebanyakan mereka telah tandatangan, namun saya tidak pasti jumlah sebenar kerana ia dikendalikan oleh kakitangan ibu pejabat MCA. Tarikh akhir penyerahan rekuisisi itu sepatutnya hari ini, namun memandangkan kakitangan ibu pejabat tidak bertugas pada hari Ahad, kami benarkan mereka serahkan rekuisisi itu sebelum pukul 5 petang esok (Isnin)," katanya pada Ahad.

MCA mempunyai 2,370 perwakilan pusat, dan menurut perlembagaan parti itu, sesuatu EGM boleh diadakan sama ada melalui arahan presiden atau permohonan satu pertiga daripada jumlah kesemua perwakilannya.

"Selepas menerima semua rekuisisi itu, kami akan bincang bila tarikh sebenarnya EGM akan diadakan," kata Kong.

Rata-rata perwakilan pusat MCA menyokong langkah menangguhkan pemilihan parti dan sebaliknya, mereka mahu EGM diadakan. Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim berkata kebanyakan perwakilan negeri itu menandatangani rekuisisi untuk mengadakan EGM.

"Selangor mempunyai jumlah perwakilan pusat terbesar iaitu 432 dan 371 daripadanya telahpun menandatangani rekuisisi itu sejak seminggu lepas," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Yeow Chai Tiam berkata sejumlah 118 daripada perwakilan negeri itu juga telah menandatangan rekuisisi untuk EGM.

"Hanya empat tidak tandatangan. Seorang berada di luar negara, satu telah meninggal dunia manakala dua lagi tidak mahu tandatangan," katanya.

Pengerusi MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw pula berkata majoriti daripada sejumlah 50 perwakilan pusat di negeri itu turut menandatangani rekuisisi tersebut.

Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong berkata beberapa bahagian didapati menyokong seratus peratus langkah menangguhkan pemilihan parti dan mengadakan EGM untuk meminda perlembagaan parti.

"Sebagai contoh, kesemua 22 perwakilan dari bahagian Johor Baharu telah menandatangani rekuisisi itu. Begitu juga dengan Air Hitam yang menyaksikan semua 17 perwakilannya menurunkan tandatangan mereka," katanya.

MCA dijangka mengadakan EGM bulan depan bagi membolehkan pewakilan pusatnya memutuskan sama ada mahu menangguhkan pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mac ini.

EGM tersebut perlu diadakan bagi meminda satu peruntukan dalam perlembagaan parti yang menyebut MCA boleh menangguhkan pemilihan parti hanya 42 bulan selepas pilihan raya umum terakhir, dalam kes ini 8 Mac 2008.

Pemilihan parti dijadual berlangsung pada Mac atau bulan seterusnya, iaitu hanya 36 bulan daripada tarikh pilihan raya umum itu.

Sehubungan itu, resolusi untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual berlangsung 36 bulan selepas pilihan raya umum terakhir, dan ia diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum akan datang, bakal dibentangkan pada EGM tersebut.

Sumber dalaman parti itu berkata mereka menjangkakan EGM itu diadakan 13 Mac ini, iaitu seminggu selepas pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau pada 6 Mac.-BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan