Sokongan Orang Melayu Terhadap PAS Merosot -Tengku Adnan

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perubahan pendirian Pas kononnya parti itu mengutamakan perjuangan orang Melayu adalah gimik politik semata-mata berikutan penurunan sokongan masyarakat Melayu begitu ketara sejak kebelakangan ini, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tegas Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) hanya UMNO dan BN sahaja mengutamakan hak dan perjuangan orang Melayu sebagai agenda utama sejak negara mencapai kemerdekaan dan ia disedari orang Melayu di negara ini.

Beliau berkata Pas kerap kali mengeluarkan kenyataan berlainan dengan memutarbelitkan isu semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan orang Melayu yakni jelas menunjukkan bahawa parti itu tidak relevan lagi.

"Bila beliau (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat) tahu bahawa undi Melayu terhadap Pas mula merosot kerana orang Melayu sudah sedar bahawa Pas itu adalah parti karut, jadi Nik Aziz sudah gentar dan takut maka beliau tukar mengatakan bahawa Pas juga memperjuangkan orang Melayu," katanya.

Semalam, Nik Aziz ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, berkata perjuangan terhadap masyarakat orang Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai peribumi di negara ini.

Nik Aziz turut menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk kepentingan politik BN semata-mata.

Menafikan kenyataan itu sekeras-kerasnya, Tengku Adnan berkata: "Walaupun pencapaian (DEB) belum sampai 30 peratus tetapi kita sudah mencapai 22 peratus. Ia dasar yang baik untuk orang Melayu dan ia masih perlu diteruskan kerana orang Melayu masih lemah dalam sektor ekonomi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal I Wilayah Persekutuan Pemuda dan Puteri Peringkat Parlimen Putrajaya di sini pada Ahad.

Katanya lagi, UMNO dan BN yang berpegang kuat konsep perkongsian kuasa sedar dan menghormati hak dan perjuangan kaum Cina, India dan etnik lain di negara ini.

Mengenai isu bayangan kabinet seperti yang diuar-uarkan pakatan pembangkang, Tengku Adnan berkata: "Pakatan memang tidak ada bayangan kabinet. Kalau tunjuk sahaja bayangan kabinet, Pakatan akan pecah dan mereka tidak berani tunjukkannya."

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tindakan pembangkang yang cuba membawa isu agama keterlaluan tidak akan membawa sebarang manfaat sebaliknya hanya mengundang perpecahan di kalangan rakyat negara ini.

"Kita lihat di Bahrain, Iraq dan Lebanon bagaimana umat Islam daripada puak Syiah dan Sunni berbalah antara satu sama lain kerana perbezaan mazhab yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi dan keharmonian negara.

"Malah di peringkat ekstrem kedua-dua puak ini sanggup berbunuhan antara mereka tetapi apa hasilnya. Tiada apa manfaat yang diperolehi. Nasib baiklah Malaysia tidak macam itu dan keharmonian masih dijaga," katanya kepada pemberita selepas taklimat isu-isu semasa di pejabat Kastam Diraja, Kota Baharu hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu agama yang digunakan Pas sehingga parti itu dilaporkan pernah mengkafirkan parti lawannya dan Nik Aziz pula dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pengundi yang tidak memilih Pas tergolong dalam orang Jahiliyah atau menolak Islam.

Meskipun orang Melayu kini sudah tidak lagi ekstrem dalam isu agama dan tidak mudah percaya terhadap fatwa yang dikeluarkan pembangkang namun keadaan itu tidak semestinya kekal, katanya.

Katanya ia bergantung jika tiada pihak yang cuba mempermainkan isu agama itu seperti tindakan kumpulan militan Al-Ma'unah yang merampas senjata dari kem tentera di Sauk, Perak pada Oktober 2001 kerana mahu menjatuhkan kerajaan untuk mendirikan negara Islam.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan sikap pembangkang yang cuba membawa isu agama keterlaluan hanya untuk mempengaruhi rakyat demi kepentingan politik.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan