Pensijilan ISO Untuk Semua Kem PLKN Menjelang Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) merancang supaya kesemua 80 kem latihannya di seluruh negara memperoleh pensijilan ISO 9001 2008 menjelang tahun depan, kata Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata usaha akan dilakukan supaya 30 daripada kem berkenaan memperoleh pensijilan itu pada tahun ini dan bakinya tahun depan.

"Pensijilan ini amat penting demi memastikan semua undang-undang dan peraturan atau SOP (prosedur operasi standard dipatuhi oleh pengurusan kem.

"Setiap kem mesti memenuhi 44 kriteria, merangkumi aspek pengurusan sehinggalah kepada latihan, infrastruktur dan lain- lain," katanya pemberita selepas melawat ke Kem Junaco Park di Jalan Ulu Oya di sini Ahad.

Dua kem di Selangor -- "Setia Ikhlas" di Ulu Semenyih, dan "Princess Haliza" di Sepang, masing-masing memperoleh pensijilan pada September tahun lepas.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hadi berkata pelatih khidmat negara akan diberi bantuan khas jika mereka berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universti Pertahanan Nasional Malaysia.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan supaya pasukan dari ibu pejabat tentera melawat kem berkenaan. Pelatih akan diminta mengisi borang permohonan berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM mereka," katanya.

Selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan pada April, temuduga kumpulan akan diadakan di kem yang dipilih, katanya.

"Sudah tentulah, untuk membolehkan mereka diterima, mereka perlu memenuhi keperluan asas kemasukan. Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dalam perkara ini," katanya.

Abdul Hadi berkata kajian menunjukkan bahawa pelatih berkenaan, yang mempunyai kelebihan daripada segi latihan kepimpinan, spiritual, moral dan pembangunan fizikal semasa di kem, akan cemerlang dalam pengajian tinggi mereka.

Beliau berkata mulai tahun ini, kementerian juga akan menyediakan peruntukan khas bagi kem latihan di Sarawak mengadakan lebih banyak projek khidmat masyarakat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan