Pengundi Pindah Tempat Tinggal Disaran Daftar Alamat Baru

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pengundi yang telah berpindah ke kawasan lain disaran supaya menukar alamat tempat mengundi bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka itu di tempat baru.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata ramai pengundi, khususnya rakyat Sabah yang berpindah ke kawasan lain dalam Sabah, tidak mampu mengundi pada sesuatu pilihan raya kerana tidak mendaftarkan alamat baru.

"Sebagai pengundi yang prihatin, daftarlah alamat baru dengan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya mudah mengundi di kawasan baru. Lagipun, pilihan raya bukan diadakan selalu," katanya ketika merasmikan Program Sentuhan Mesra - Jalinan Rakyat dan Bancian Sikap anjuran Wanita Umno Sabah di Putatan dekat sini Ahad.

Yahya, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas dan Setiausaha Umno Negeri, mendapati jumlah pengundi yang keluar mengundi pada sesuatu pilihan raya jauh berbeza daripada jumlah penduduk yang layak mengundi di sesuatu kawasan.

Katanya perkara itu membimbangkan kerana boleh menjejaskan usaha Barisan Nasional (BN) mendapat mandat rakyat.

"Salah satu sebab kita mahu penyokong kita mengundi ialah untuk membolehkan BN meneruskan program-program pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan.

"BN sangat komited dan benar-benar ingin membela nasib rakyat. Tetapi BN perlu mandat rakyat terlebih dahulu melalui undi supaya BN boleh meneruskan kerja untuk rakyat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan