Pelajar Di Luar Negara Dinasihat Kenang Jasa Pemimpin Negara

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati pelajar Malaysia di luar negara supaya sentiasa mengenang jasa pemimpin negara.

Baginda bertitah mereka juga perlu meletakkan keutamaan berhubung tanggungjawab kepada negara, universiti, ibu bapa dan penaja pengajian mereka.

Bertitah pada majlis ramah mesra bersama pelajar beberapa universiti di Mesir yang pulang ke Perlis akibat kemelut di negara itu hari ini, baginda berharap pengalaman tersebut dijadikan iktibar.

Titah baginda, pelajar perlu sentiasa menghormati budaya dan undang-undang setempat agar mereka juga dihormati, selain mendampingi Kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin berharap pelajar terbabit mengisi percutian mereka dengan menyertai pelbagai program kemasyarakatan, termasuk gotong-royong membersihkan kawasan masjid, perkuburan dan perumahan sementara menunggu masa untuk kembali menyambung pengajian di Mesir.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu juga mahu pelajar berkenaan berkongsi pengalaman dengan masyarakat melalui program anjuran pelbagai pihak, termasuk MAIPs.

Baginda bertitah langkah itu bertujuan memberi iktibar kepada masyarakat tentang peristiwa yang berlaku di negara berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis di Mesir Syed Aisam Syed Idris berkata sejak pulang dari negara tersebut, mereka telah merangka pelbagagi program kemasyarakatan.

Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana 129 pelajar Perlis di Mesir berada dalam keadaan selamat, walaupun dikelilingi ancaman akibat keadaan yang tidak menentu.

Syed Aisam yang menuntut di Universiti Al Azhar dalam pengajian syariah, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perlis kerana membantu mereka keluar dari bumi Mesir yang dilanda kemelut itu. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Jafperi Othman.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan