Rakyat Malaysia Di Algeria, Bahrain, Libya Dan Yemen Selamat

Diterbitkan: Sabtu, 19 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Algeria, Bahrain, Libya dan Yemen, yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia, setakat ini dilaporkan selamat dan tidak terlibat dalam rusuhan yang berlaku di negara berkenaan.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan malam Jumaat menyebut, ia sentiasa memantau perkembangan terkini di negara terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua rakyat Malaysia selamat.

Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Algeria ialah 60 orang, Bahrain (500), Libya (150) dan Yemen (646).

"Kementerian juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut untuk mengikuti perkembangan terkini dan berhubung dengan pihak kedutaan bagi mendapatkan sebarang bantuan, sekiranya perlu," kata kenyataan itu.

Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Manama, Tripoli dan Sana’a diarah menghubungi serta menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia di situ agar mengambil langkah keselamatan sewajarnya, selain mengelak berada di tempat berisiko tinggi berlaku rusuhan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan