Pakatan Pembangkang Belum Tentukan Parti Mana Bertanding Dun Kerdau

Diterbitkan: Sabtu, 19 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan parti mana yang akan bertanding mewakili pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada pilihan raya umum lepas pada 2008, kerusi DUN itu ditandingi oleh calon PAS.

"Bagi kerusi DUN Merlimau (Melaka), Majlis Pakatan Rakyat bersetuju meletakkan calon PAS dan untuk kerusi DUN Kerdau kita akan tentukan nanti" katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, di sini, Sabtu.

Ditanya mengenai jentera pilihan raya pakatan pembangkang bagi kedua-dua kawasan itu, beliau berkata: "Jentera pilihan raya kita baik dan memuaskan. Kita belum melancarkan sepenuhnya lagi."

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DU NMerlimau dan DUN Kerdau diadakan serentak pada 6 Mac ini manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua DUN itu ditetapkan pada 26 Feb ini.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari Barisan Nasional (BN) pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim ,dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu, kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Jan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan