Kerajaan Sasar 55 Peratus Tenaga Kerja Wanita Pada 2015 - Berita Semasa | mStar

Kerajaan Sasar 55 Peratus Tenaga Kerja Wanita Pada 2015

Diterbitkan: Jumaat, 18 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan peningkatan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus pada 2015 berbanding 47.3 peratus tahun ini dengan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti taska, tadika dan pusat jagaan harian untuk membolehkan lebih ramai wanita keluar bekerja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kertas cadangan untuk menyediakan lebih banyak prasarana di tempat kerja akan dihantar ke kabinet dan seterusnya usaha akan diambil untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Diminta mengulas isu kekurangan pembantu rumah, beliau berkata sudah tiba masanya warga tempatan dilatih untuk menjadi pembantu rumah kerana kebergantungan kepada pembantu rumah warga asing akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita mula mewujudkan agensi pembantu rumah warga tempatan kerana kita sudah bersedia cuma kekurangan tenaga kerja sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Ekspo Perdagangan Khas Wanita - Penghormatan Kepada Wanita Malaysia" di sini, Jumaat.

Sementara itu, penerbit dan pengarah ekspo, Mahani Awang menjangkakan jualan sebanyak RM100,000 dapat dicapai melalui ekspo selama tiga hari ini.

"Untuk permulaan, kami menjangkakan seramai 15,000 pengunjung akan menghadiri acara ini kerana terdapat banyak aktiviti menarik seperti potongan separuh harga untuk kasut rekaan Bill Keith dan kunjungan penyanyi terkenal negara, Siti Nurhaliza pada hari Ahad untuk mempromosikan produknya," kata Mahani.

Ekspo yang diadakan sempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada bulan depan itu bertujuan untuk menghargai peranan dan sumbangan golongan wanita dalam setiap aspek pembangunan negara.

Acara ini yang disokong oleh Pergerakan Wanita UMNO, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Persatuan Wartawan Wanita Malaysia, Persatuan Pereka Bumiputera, Youth of Unity dan Yayasan Kanak-kanak Malaysia, berjaya menarik lebih 70 syarikat dan usahawan untuk mempromosikan produk keluaran mereka. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan