Tak Benar Ada 2,000 Kekosongan Jawatan Polis Di S'gor

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa terdapat kekosongan sehingga 2,000 jawatan dalam pasukan polis di negeri tersebut.

"Dakwaan itu tidak berasas," kata Ketuanya, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika mengulas permohonan kerajaan negeri berkenaan untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menampung kekosongan itu.

Tun Hisan berkata, selaku Ketua Polis Selangor beliau sendiri tidak tahu menahu wujudnya kekosongan yang didakwa itu dan mempersoalkan dari mana Pejabat Menteri Besar mendapat maklumat berkenaan.

Beliau berkata, soal cukup atau tidak bilangan anggota polis adalah sesuatu yang subjektif dan perkiraan untuk menetapkan status itu adalah tidak jelas.

"Di Selangor sendiri, saya mempunyai seramai 11,700 anggota polis. Angka tersebut sebenarnya cukup untuk membantu menjamin kesejahteraan penduduk di negeri ini,'' katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

Mengulas lanjut, Tun Hisan menegaskan, perkara yang lebih penting yang perlu diambilkira ialah cara pasukan polis mengerahkan anggotanya ke kawasan jenayah.

Masyarakat setempat juga, tegas beliau, harus memainkan peranan aktif bagi membantu polis.

"Kerja membasmi jenayah bukan kerja polis semata-mata tetapi juga tanggungjawab semua. Masyarakat perlu mainkan peranan untuk menjaga harta-benda dan keselamatan persekitaran,'' tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan