Perhalusi Mekanisme Pembayaran Kesalahan Trafik - Persatuan Pengguna

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna di negara ini mahu kerajaan memperhalusi mekanisme sistem pembayaran kesalahan trafik sebelum melaksanakan kaedah "makin lewat anda bayar, makin tinggi kompaun anda bayar" mulai 1 Mac bagi memastikan benar-benar berkesan.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu memastikan terdapat usaha susulan dibuat untuk memantau setiap saman yang dikeluarkan kepada pesalah.

"Susulan perlu dibuat seperti menghantar nota peringatan membayar saman serta panggilan telefon kepada mereka yang disaman. Ini penting bagi memastikan pesalah tiada alasan untuk berkata mereka tidak mengetahui saman dikeluarkan," katanya kepada mStar Online di sini.

Mulai 1 Mac, pemandu boleh melupakan hasrat mereka untuk melengah-lengahkan bayaran saman trafik dengan harapan mahu memperoleh diskaun yang banyak sempena kempen yang dianjurkan oleh polis dan lain-lain pihak berkuasa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Kabinet bersetuju untuk menstruktur semula sistem pembayaran trafik berdasarkan prinsip "makin lewat anda bayar, makin tinggi kompaun anda bayar" mulai 1 Mac ini.

Pesalah trafik turut tidak akan dikenakan mata demerit sekiranya mereka menjelaskan saman-saman tertunggak dalam tempoh tiga bulan.

Bergantung kepada kategori kesalahan, pemandu boleh jimat sehingga RM150 untuk setiap saman sekiranya mereka memilih untuk membayar dalam tempoh 15 hari selepas mendapat saman itu, berbanding sekiranya mereka menangguhkan pembayaran sehingga dua bulan.

Bagaimanapun, tidak terdapat pengurangan dari segi amaun kompaun bagi kategori kesalahan serius yang menyebabkan kemalangan serta kematian.

Menurut Muhammad Sha'ani lagi, pihak berkuasa harus menyediakan mekanisme untuk memudahkan pesalah trafik membuat rayuan kerana "pesalah" itu mungkin merupakan mangsa plat kenderaan palsu.

Katanya, buat masa ini, cuma Ketua Polis Daerah dibenarkan untuk melayan rayuan orang ramai dan pegawai polis itu mungkin tidak dapat menemui setiap perayu akibat kekangan masa.

"Rentetan itu, pesalah mungkin tidak mengambil peduli untuk membuat rayuan dan lebih sanggup membiarkan saman-saman tersebut tertunggak. Di negara jiran, terdapat pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk mendengar setiap permohonan rayuan," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang & Shah Alam, Datuk Dr Jacob George menyarankan pihak berkuasa berdiskusi dengan persatuan pengguna, tokoh masyarakat dan pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru.

Katanya, pihak berkuasa turut boleh menjalankan program jelajah untuk menerangkan rasional serta mendapatkan maklumbalas berhubung perlaksanaan peraturan tersebut.

Ini kerana beliau berpendapat ia masih boleh diperhalusi bagi memastikan peraturannya relevan dalam persekitaran semasa.

"Misalnya, kerajaan harus membuat satu kajian terperinci tentang had laju di jalan-raya dan lebuh raya tertentu. Kita dapati had laju di sesetengah laluan tidak lagi sesuai," katanya yang menyambut baik prinsip "makin lewat anda bayar, makin tinggi kompaun anda bayar" kerana menggalakkan orang ramai menjelaskan saman kompaun mereka.

Mengulas peraturan baru tersebut, Jacob menambah, pihak berkuasa harus menyediakan satu tempoh penampan kepada orang ramai supaya mereka dapat menyesuaikan diri sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman berkata, pihak berkuasa harus mempertimbangkan kes-kes tertentu di mana pengenaan saman kompaun boleh diketepikan atau diproses secara tersendiri.

Misalnya, pemandu kenderaan yang direkodkan melakukan kesalahan trafik pada tempoh insiden bukan merupakan pemilik kenderaan, notis saman tiba lewat kepada penerima, dan pesalah trafik mungkin berada keluar negara.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak menjadikan tawaran diskaun tersebut sebagai suatu galakan untuk melakukan kesalahan trafik.

Katanya, tindakan melanggar peraturan jalan raya bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan