Muhyiddin Sertai Sambutan Chap Goh Mei Di Kuching Waterfront

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai kira-kira 10,000 rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di Kuching Waterfront bagi menyambut Chap Goh Mei yang menandakan perayaan Tahun Baru Cina sudah tiba ke penghujungnya.

Berlatar belakang kuil Tua Pek Kong yang berusia 250 tahun yang dihiasi indah dengan tanglung merah, beliau dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman disambut oleh tarian singa tradisional yang menambah kemeriahan majlis istimewa itu.

Muhyiddin turut berkunjung ke Muzium Sejarah Cina yang terletak di Bangunan Dewan Perniagaan Cina yang dibina pada 1912 dengan diiringi Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan orang kenamaan lain.

Di muzium yang dirasmikan pada 1993, beliau dapat melihat sejarah menarik kaum Cina di Sarawak, yang kini merupakan sebahagian daripada masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau dan isterinya kemudian menikmati juadah tempatan sempena Tahun Baru Cina di Kafe James Brooke Bistro.

Muhyiddin turut menyerahkan kad ucapan Tahun Baru Cina yang mengandungi tanda tangan beliau kepada pasangan bertuah Tan Yit Sheng dan Shirley Lau sempena sambutan hari ke-15 Hari Kekasih versi tradisional kaum Cina.

Sementara itu, pasangan Inggeris Jo dan Rex Baggaley, yang menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina di sini berkata majlis malam Khamis agak istimewa kerana mengundang memori ketika bersama rakan mereka di Hong Kong, tempat mereka menetap sebelum ini.

"Ia sesuatu yang menarik apabila melihat timbalan perdana menteri anda sudi meluangkan masa menyertai penduduk tempatan di sini," kata Jo.

Pereka fesyen rambut Oscar Chen yang membawa teman wanitanya, Tiong Ling Wei ke situ untuk sambutan Chap Goh Mei pula berkata, peluang menyaksikan persembahan kebudayaan seperti orkestra tradisional yang mengisahkan epik dewa-dewi Cina merupakan satu pendedahan kepada generasi muda seperti dirinya.

Bagi Jamayah Sidi yang datang dari Buso di Bau, majlis itu istimewa berikutan kehadiran Muhyiddin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan