KDN Tetap Tolak Permohonan Tubuh Pasukan Polis Bantuan

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berganjak daripada keputusan sebelum ini yang menolak permohonan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu meneruskan permohonan untuk menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu diambil kerana tindakan kerajaan Selangor itu adalah bertentangan dengan perlembagaan.

"Jawapan masih tidak, kerana ia bertentangan dengan perlembagaan. Seperti mereka lakukan pada pindaan usul di negeri Selangor, walaupun tahu ia tidak akan berjaya.

"Bila tak berjaya atas alasan untuk membela Sultan Selangor, hari ini boleh pulak duduk semeja dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Apa dah jadi dengan Sultan Selangor.

"Orang boleh tengok, (mereka) buat perkara yang sia-sia. Saya dah agak dah, apa jua keputusan kita, mereka mahu melakukan provokasi situasi yang mereka tahu ia bercanggah dengan perlembagaan dan tak masuk akal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementerian di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan Selangor yang tetap meneruskan permohonan untuk menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri walaupun tidak dipersetujui oleh banyak pihak termasuk KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hishammuddin turut melahirkan rasa terkilan terhadap kerajaan negeri Selangor yang tidak pernah tampil ke hadapan untuk membantu pasukan polis dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri itu.

"Keduanya, bila indeks jenayah menurun, itu pula dijadikan alasan bahawa indeks jenayah meningkat dan mahu mendapatkan polis bantuan," katanya.

Menteri itu berkata langkah kerajaan negeri pembangkang itu hanya bagi tujuan mensensasikan keadaan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Hindraf tidak pernah memohon untuk mendapatkan permit bagi menganjurkan bantahan besar-besaran pada 27 Februari, bagi mendesak mengharamkan novel Interlok sebagai KOMSAS penuntut Tingkatan 5.

Hishammuddin berkata, jika mereka memutuskan untuk meneruskan rancangan mengadakan reli di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), mereka hendaklah bersedia menghadapi sebarang tindakan yang akan diambil terhadapnya.

"Jika mereka berbuat demikian, mereka melakukan atas risikonya sendiri kerana negara ini mempunyai undang-undang dan peraturannya sendiri," kata beliau.

Beliau juga menjelaskan bahawa konvoi Hindraf dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang membuat bantahan ke atas novel itu di seluruh negara Ahad lepas, di mana 59 daripadanya ditangkap di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, juga tidak memohon permit.

"Mereka tidak pernah mohon permit. Mereka teruskan. Kini polis telah ambil tindakan, baru sekarang mereka mahu merayu. Polis bersikap profesional dalam pendekatannya. Pada hakikatnya, semua mereka yang ditahan kini dibebaskan dengan ikat jamin," tambah beliau.

Ditanya jika permit akan dikeluarkan jika mereka memohon, Hishammuddin berkata: "Biarlah bahagian berkaitan menilai permohonannya.

"Tetapi seperti anda tahu, Hindraf adalah sebuah pertubuhan haram. Jadi, saya tidak tahu apa locus standi mereka untuk memohon." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan