Kadar Tol PJS Di Lebuh Raya Pantai Dikurang Kepada RM1

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kadar tol di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2 (PJS 2) Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dekat Kampung Medan di sini akan dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1 bermula pukul 12.01 tengah malam ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Pesta Chop Goh Mei peringkat Negeri Selangor dan Majlis Penyampaian Sumbangan anjuran Barisan Nasional Selangor di Padang Taman Dato' Hormat PJS 10, di sini.

Najib berkata kerajaan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat negara, dan langkah pengurangan kadar tol ini merupakan salah satu daripada contoh usaha gigih kerajaan, yang sejajar dengan konsep 1Malaysia.

"Ini satu lagi contoh bahawa kerajaan akan buat yang terbaik untuk rakyat Selangor dan Malaysia," katanya dan disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 2,500 hadiran. Pada Februari 2009, kerajaan mengumumkan bahawa kutipan tol di Plaza Tol PJS 2 lebuhraya itu, arah ke Kuala Lumpur dimansuhkan.

Lebuhraya Baru Pantai sepanjang 19.5 kilomteer dibuka sejak 30 April 2004. Ia bernilai RM1.2 bilion dan dikendalikan oleh syarikat konsesi New Pantai Express Way Sdn Bhd.

Hampir 650 orang yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan ang pau dalam majlis yang dihadiri kira-kira 2,500 orang daripada pelbagai kaum itu.

Dalam ucapannya di majlis itu Perdana Menteri berkata kerajaan BN akan terus membela nasib setiap rakyat Malaysia berdasarkan prinsip keadilan sosial.

"Sebagai sebuah kerajaan, kami bukan sahaja menghormati kepelbagaian budaya, agama dan bahasa tetapi juga menegakkan prinsip rakyat didahulukan, bersendikan kepada keadilan sosial," katanya.

Sebagai contoh, Najib berkata kerajaan membelanjakan peruntukan RM1.2 bilion untuk pelbagai program menolong orang miskin termasuk miskin tegar dan masyarakat berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal dan OKU.

Beliau berkata peruntukan RM1.2 bilion ini adalah satu jumlah yang amat besar, namun kadang kala orang tidak menghargai apabila diberi peruntukan yang banyak.

"Pembangkang bagi RM100 dan riuh satu kampung, kita (kerajaan) bagi lebih banyak daripada pembangkang. Ini kerajaan Barisan Nasional," kata Najib.

"Ini kerana kita tidak membuang masa mentadbir negara. Kita tidak bergaduh tak tentu pasal. Kita tidak keluar parti macam parti tertentu. Kita tidak buat sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tahu tidak berfaedah," tambahnya.

Najib berkata hari ini jelas terbukti bahawa konsep 1Malaysia dihayati kerana dalam majlis ini walaupun ia sambutan Cap Goh Mei dan Gong Xi Fa Chai tetapi pelbagai kaum turut hadir. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan