Maulidur Rasul Disambut Penuh Keinsafan

Diterbitkan: Selasa, 15 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sambutan Maulidur Rasul tahun ini disambut penuh keinsafan dan diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Putrajaya dimulai dengan perarakan sejauh 2.4 km yang disertai oleh 10,315 peserta daripada 114 kontinjen dari Dataran Putra sehingga ke Qiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai perarakan itu yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke perhimpunan Maulidur Rasul bertemakan "1Malaysia 1Ummah" di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri Kabinet yang lain.

Di SEREMBAN, lebih 8,000 peserta daripada 99 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menyertai perarakan dan perhimpunan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Perarakan diketuai Yang Dipertua Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Di JOHOR BHARU, Sultan Johor Sultan Ibrahim bersama-sama lebih 3,000 umat Islam menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar.

Berangkat sama ke majlis itu, permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim dan kerabat lain.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Mufti negeri Datuk Mohd Tahrir Shamsudin, Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut, anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Majlis yang bermula kira-kira pukul 9 pagi dimulakan dengan bacaan ayat al-Quran dan selawat sebelum disusuli ceramah agama yang disampaikan oleh Kadi Daerah Muar Ustaz Zulkifli Muhamad.

Di KOTA BHARU, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan malam Isnin di mana Sultan Kelantan, Sultan Mohammad Kelima menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama-sama kira-kira 3,000 umat Islam di Masjid Muhammadi.

Turut sama Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, anggota Exco, ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Selepas solat Maghrib berjemaah, penceramah bebas yang juga Pengetua Program Imam Muda dari Stesen TV9, Datuk Dr Hassan Mahmud Al-Hafiz menyampaikan syarahan sebelum diakhiri dengan selawat ke atas Rasulullah selepas solat Isyak dan diikuti jamuan makan malam untuk hadirin.

Di PERLIS, walaupun tiada sambutan peringkat negeri diadakan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Katong bersama-sama kira-kira 200 penduduk kampung itu mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan program ilmu di surau kampung itu bagi mengisi sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Kegiatan membersihkan kawasan kubur turut diadakan d beberapa kawasan manakala di Ulu Pauh, berlangsung majlis Pemuafakatan Masyarakat sempena sambutan Maulidur Rasul di perkarangan masjid Ulu Pauh.

Di KUANTAN, lebih 2,000 peserta dari jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menyertai perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Perak.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berangkat dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Ahmad Shah menyeru golongan muda mencontohi keperibadian mulia Nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan Rasulullah sebagai panduan dalam mencapai kehidupan gemilang dan terbilang pada masa depan.

Baginda juga menyeru rakyat di negara ini mengekalkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain dalam melahirkan modal insan dalam semua aspek yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.

Di KOTA SAMARAHAN, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yakin umat Islam di Sarawak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan transformasi negara daripada ekonomi sederhana kepada ekonomi pendapatan tinggi menerusi semangat ilmu pengetahuan.

Beliau berkata ini akan membolehkan ilmu pengetahuan, termasuk melalui perkhidmatan siber, disebarkan ke seluruh negeri terutamanya di kawasan luar bandar.

"Hiduplah dengan menyebarkan ilmu pengetahuan, yang boleh dijadikan satu jihad untuk dapat berkhidmat kepada rakyat," katanya pada perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul yang diketuai Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng membabitkan 153 kontinjen termasuk tiga kontinjen bukan Islam.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin dan isteri Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni mengetuai perarakan Maulidur Rasul yang disertai kira-kira 10,000 orang, dari Padang Merdeka di pusat bandar ke bangunan Wisma Muis.

Pada majlis itu pesara kerajaan yang berpengalaman dalam bidang ekonomi Datuk Hassan Ibrahim, 65, dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul pringkat negeri bagi kategori lelaki, dan bekas pendidik Datuk Rita Bagong @ Jaafar, 62, untuk kategori wanita.

Di MELAKA, sebanyak 199 kontinjen membabitkan 12,000 peserta menyertai perarakan sejauh 4km dari Stadium Hang Tuah hingga ke perkarangan Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Sebelum itu, majlis menyambut Maulidur Rasul diadakan di Stadium Hang Tuah yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 4,000 umat Islam membabitkan 110 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan pasukan beruniform berarak dari Dataran Shah Bandar hingga ke Stadium Negeri.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Seri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diisi dengan persembahan nasyid, pidato dan deklamasi sajak.

Di GEORGE TOWN, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam ucapannya berkata rakyat perlu menghayati konsep kesederhanaan dalam amalan kehidupan seharian dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.

Beliau berkata penghayatan konsep itu juga adalah selaras dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu 'Wasatiyyah Tonggak Kecemerlangan Ummah' dimana Wasatiyyah membawa maksud kesederhanaan.

Abdul Rahman turut melancarkan Dana Wakaf Tunai anjuran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang bertujuan untuk membeli premis perniagaan bagi membantu meningkatkan ekonomi orang Islam di negeri ini.

Pada majlis itu, anugerah khas Maulidur Rasul disampaikan kepada Ketua Pengurusan Rancangan Malaysia Halal Farmasi Prof Dr Zahari Ismail, yang juga profesor kimia Fakulti Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia, dan kepada pemenang program realiti Imam Muda Mohamad Asyraf Mohamad Ridzuan.

Terdahulu, sebanyak 46 kontinjen membabitkan 2,300 peserta menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri sejauh 3km dari Padang Kota Lama ke Dewan Seri Pinang.

Turut hadir Ketua Menteri Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Abdul Malik Abul Kassim.

Di ALOR SETAR, kira-kira 5,000 orang menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Sultan Abdul Halim, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang bertemakan "Kita Adalah Ummah Yang Satu".

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidon turut berangkat. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Tuanku Abdul Halim bertitah percanggahan akidah dan ideologi yang tidak terkawal menyebabkan timbulnya perpecahan dan huru-hara dan akhirnya meruntuhkan sesuatu pemerintahan.

Baginda bertitah umat Islam akan kembali kuat dan terkemuka jika mereka berpegang teguh pada ajaran Islam yang sebenar dan berbuat baik sesama manusia kerana di sinilah terletaknya harapan umat Islam untuk menebus kembali maruah dan prestasi yang akan membawa kepada kegemilangan islam.

Pada majlis itu, Dekan Kuliah Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Insanian (KUIN) Prof Dr Abdul Aziz Hanafi, 63, diumumkan sebagai Tokoh Pendakwah manakala Imam Masjid Kampung Ulu Tawar, Baling, Abdul Wahab Che Li, 60, sebagai Tokoh Imam dan masing-masing menerima wang tunai RM2,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Di JITRA, sambutan Maulidur Rasul menampilkan kelainan dengan perarakan 2,500 peserta turut disertai masyarakat bukan Islam iaitu Cina, India dan Siam.

Perarakan yang berkonsepkan 1Malaysia itu bermula pada pukul 9 pagi dengan mengelilingi sekitar kawasan Taman Mahsuri dan berakhir di Masjid Tanah Merah.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai perarakan yang disertai oleh 125 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor, swasta, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi sempena sambutan Maulidur Rasul di Stadium Melawati.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Tan Sri Hashim Meon, 64, dipilih sebagai penerima Anugerah Umar Abdul Aziz atas jasanya semasa menjadi Setiausaha Kerajaan Selangor dari tahun 1995 hingga 1999 dalam memperkenalkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan, sijil penghargaan dan sepersalinan pakaian daripada Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah yang mewakili kekandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Al-Quran Kolej Al-Itqan, Ampang Siti Nadhira Shafei, 18, yang merupakan johan menghafaz 30 juzuk Al-Quran Kebangsaan 2010 serta mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa di Jordan untuk kategori 30 juzuk pada tahun 2009, menerima anugerah Saidina Ali.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan, sijil penghargaan dan sepersalinan pakaian. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan