MAIPP Sasar Terima Sumbangan Kira-Kira RM3 Juta Setahun

Diterbitkan: Selasa, 15 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) mensasarkan menerima sumbangan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun untuk Dana Wakaf Tunai.

Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria berkata sasaran itu dibuat berdasarkan purata sumbangan sebanyak RM25 bagi setiap keluarga Islam di negeri ini dengan jumlah keseluruhan orang Islam di negeri ini adalah 600,000.

"Daripada jumlah itu bukan semuanya mempunyai pendapatan yang tinggi, ada juga yang kurang berkemampuan dan perlu dibantu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Dana Wakaf Tunai yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di sini Jumaat.

Beliau berkata MAIP mampu membeli lebih banyak premis perniagaan yang secara tidak langsung mampu menjana ekonomi orang Islam dengan sumbangan itu.

Katanya Dana Wakaf Tunai diwujudkan tiga tahun lepas tetapi ia kurang mendapat sambutan akibat kurang penyebaran maklumat mengenai dana itu.

"Kita akan buat satu majlis untuk memperkenalkan semula dana ini supaya orang ramai lebih tahu dan mendapat maklumat yang tepat bagaimana untuk menyalurkan sumbangan mereka," katanya.

Pelancaran dana itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan gimik pelancaran beliau menyerahkan wang RM5 kepada Ellias.

Selain itu Ellias berkata kutipan zakat untuk Pulau Pinang setahun berjumlah RM53 juta, yang digunakan untuk membantu orang Islam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan