Sindiket Pencuri Di Lapangan Terbang, Pelabuhan Punca Rugi Jutaan Ringgit

Diterbitkan: Isnin, 14 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sindiket-sindiket tertentu dipercayai mencuri barangan bernilai berjuta-juta ringgit dari terminal pengangkutan di lapangan terbang serta pelabuhan di negara ini.

Sesetengah barangan turut dicuri melalui rompakan dan rampasan di lebuh raya.

Dalam insiden terbaru, polis Perak sedang menyiasat kehilangan 700,000 kondom bernilai RM4.5 juta pada 11 Februari lalu semasa barangan itu tersebut dalam perjalanan untuk dieksport ke Jepun.

Tahun lalu, dagangan bernilai kira-kira RM70 juta "hilang" dilaporkan kepada Persatuan Perlindungan Aset Yang Diangkut (TAPA), sebuah agensi pemantau di Amerika Syarikat.

Daripada jumlah tersebut, rompakan dan rampasan menyebabkan kerugian sebanyak RM64 juta manakala barangan bernilai RM4.3 juta dicuri dari terminal-terminal.

Barang dagangan bernilai RM80,000 turut dilaporkan dicuri dari stor penyimpanan manakala kenderaan bermuatan yang kesemuanya bernilai RM1.2 juta juga hilang dicuri atau ditipu.

Sebahagian besar barangan hilang terdiri daripada unit pemprosesan komputer (CPU), cip dan lain-lain komponen dalaman CPU yang bernilai RM45.4 juta.

Ini diikuti oleh wang tunai atau jongkong emas (RM8.3 juta), logam (RM4.2 juta), pemacu cakera keras dan cakera penstoran (bernilai hampir RM4 juta), dan telefon bimbit serta telefon pintar (RM3.1 juta).

Baki dagangan yang dicuri termasuk peralatan berteknologi tinggi, produk tembakau, komputer mudah alih, komoditi serta produk makanan dan minuman.

Menurut TAPA, modus operandi sindiket tersebut melibatkan penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis manakala terdapat pekerja sendiri berpakat dengan ahli-ahli sindiket mencuri barangan di tempat kerja.

Perunding keselamatan dan logistik standard, Kapten Rajkumar berkata, kebanyakan pekerja asing yang berpendapatan rendah dipercayai berpakat dengan ahli-ahli sindiket.

"Ahli-ahli sindiket akan mengumpan pekerja-pekerja penghantaran dengan janji habuan besar sekiranya mereka memberikan maklumat mengenai barangan yang disasarkan.

"Apa yang perlu dilakukan pekerja terbabit ialah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada sindiket tentang nombor pendaftaran trak serta kontena. Ahli-ahli sindiket kemudiannya akan mengesan kenderaan itu," katanya.

Ketua Perkhidmatan Maklumat Insiden TAPA Asia, Tony Lugg menasihatkan syarikat untuk menyaring para pekerja masing-masing.

"Ya, akan timbul kos penyaringan (pekerja-pekerja) tetapi ia adalah berbaloi," katanya.

Malaysia merekodkan bilangan insiden yang kedua tertinggi di rantau Asia Pasifik, di belakang Hong Kong (RM92.7 juta). Bagaimanapun, Malaysia mendahului Australia (RM14.5 juta) dari segi kecurian yang dilaporkan.

Lugg memberi amaran bahawa insiden kecurian kargo di Malaysia akan memberikan "impak yang besar" terhadap prospek negara sebagai pusat dagangan pilihan.

Katanya, kebanyakan barangan hilang melalui keganasan dan ancaman.

Terdapat lebih daripada 1,000 ahli TAPA di Asia dengan kebanyakannya terdiri daripada syarikat multinasional, pengilang dan penyedia perkhidmatan logistik seperti Nike, DHL, Fedex, Intel, Gillette dan syarikat-syarikat tembakau dengan pelaburan yang tinggi di Malaysia.

Lugg turut memberi amaran bahawa situasi akan menjadi lebih teruk sekiranya pusat utama penghantaran seperti West Port, North Port, Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Tanjung Langsat, Pelabuhan Bintulu, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang tidak berhubungan serta berkongsi maklumat melalui rangkaian teknologi maklumat.

Rajkumar berkata, keselamatan di kesemua pintu masuk utama untuk dagangan perlu ditingkatkan.

"Sekiranya sebuah trak dan pemandu disenaraihitamkan di sebuah pusat penghantaran, individu terbabit boleh memandu dengan trak yang sama ke pusat yang lain tanpa sebarang masalah.

"Syarikat-syarikat hanya mengambil berat trak itu meninggalkan pusat dan tiba di destinasi," kata Lugg, sambil menambah apa yang berlaku pada tempoh masa antara destinasi tidak diketahui.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan