Kerajaan Utamakan Pendidikan Semua Kaum - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 14 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha membangunkan bidang pendidikan kepada semua pihak dalam negara tanpa mengira sekiranya seseorang itu dari kaum minoriti sekalipun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata matlamat kerajaan adalah untuk melihat semua rakyat mendapat pendidikan yang sempurna dan mencapai kejayaan yang cemerlang.

"Komitmen kerajaan Barisan Nasional adalah total, tidak pernah mengenepikan sekolah jenis kebangsaan," katanya semasa berucap merasmikan majlis pecah tanah tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau di Merlimau dekat sini, Isnin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata komitmen kerajaan dalam memajukan bidang pendidikan tidak pernah berubah sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Saya menerima permohonan setiap hari untuk menambah bilik-bilik darjah," katanya dengan menambah kerajaan sentiasa bersedia memberi peruntukan untuk membangunkan keperluan pendidikan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah menghampakan permohonan rakyat yang mahukan pendidikan yang terbaik walaupun mereka terdiri daripada kaum minoriti.

"Kalau di sesetengah negara, minoriti itu maknanya (keperluan mereka) diambil kira kemudian (tetapi) tidak di Malaysia, selagi dia rakyat Malaysia, dia taat setia kepada negara ini, dia mendapat layanan yang adil dan saksama, dia berhak mendapat apa saja sokongan dan keperluan untuk dibantu oleh kerajaan," katanya.

Bangunan empat tingkat SJKT Merlimau itu akan dibangunkan di tapak seluas dua hektar dengan kos kira-kira RM6 juta.

Turut hadir majlis hari ini ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MIC Datuk G.Palanivel dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan