Kekosongan Kerusi Kerdau Dimaklum Kepada SPR Esok

Diterbitkan: Ahad, 13 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin akan memaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Kerdau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Beliau berkata surat pemakluman itu akan dihantar kepada SPR sejurus pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Katanya pemakluman secara tidak rasmi telah diberitahu beliau kepada pihak SPR semalam.

Sementara itu, Pengarah SPR Pahang Datuk Ismail Mohd Yusoff berkata Wan Mohamed Razali akan menyerahkan notis mengisytiharkan kekosongan kerusi itu kepada SPR esok.

Beliau berkata selepas itu SPR mempunyai masa sehingga dua minggu untuk membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil.

Zaharuddin, 64, dilaporkan terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di kediamannya dan dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu pada 7.15 petang semalam.

Allahyarham menjadi wakil rakyat kawasan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum itu, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan