Jajaran MRT: Maklum Balas Orang Ramai Diperlukan

Diterbitkan: Ahad, 13 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Ahad, melancarkan hari terbuka sistem Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Kelang bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan maklum balas mereka berhubung pembinaan pengangkutan awam itu bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang bermula Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Kamal berkata, orang ramai berpeluang memberikan maklum balas konstruktif berhubung cadangan pembinaan jajaran MRT tersebut selama tiga bulan dari 14 Februari hingga 14 Mei.

"Ini bagi membolehkan SPAD menilai maklum balas tersebut dan bertindak sewajarnya.

"Jangan kita lupa ia ialah MRT kita semua. Ia bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kepada semua orang," katanya pada pelancaran hari terbuka MRT Lembah Kelang - Jajaran Sungai Buloh-Kajang di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad, Shahril Mokhtar.

Mohd. Nur berkata, jajaran sepanjang 51 kilometer (km) itu mempunyai jarak laluan bawah tanah sepanjang 9.5km, 35 buah stesen, 4 buah stesen persilangan dan 11 buah stesen park-and-ride.

Tambah beliau, laporan penilaian alam sekitar (EIA) tentang projek tersebut akan dikeluarkan esok.

"EIA akan dianalisis sebaik-baiknya agar pembinaan jajaran MRT itu kelak tidak akan menjejaskan alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Shahril memberitahu, pihaknya turut akan menganjurkan sesi teh tarik bersama penduduk setempat bagi mendapatkan maklum balas mereka ekoran pembinaan jajaran itu di sekitar tempat tinggal mereka.

Susulan pelancaran hari terbuka itu, pameran tentang cadangan jajaran Sungai Buloh-Kajang tersebut diadakan di tujuh lokasi.

Lokasi tersebut ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Selayang, Majlis Bandaraya Kajang, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar dan pejabat SPAD di Menara Dayabumi.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa pembinaan Jajaran Sungai Buloh - Kajang akan bermula pada Julai 2011.

Jajaran itu akan bermula dari Sungai Buloh menghala ke Kajang merentasi pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Ia dijangka siap menjelang 2016 dan bakal menyediakan perkhidmatan rel yang efisien kepada 1.2 juta pengguna dengan anggaran melebihi 400,000 perjalanan sehari.

Laluan MRT itu akan diintegrasikan dengan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), sistem LRT serta rangkaian bas sokongan.

Orang ramai boleh memberikan maklum balas kepada SPAD di talian bebas tol 1800-82-6868 atau emel ke feedback@kvmrt.com.my .

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan