BN Selesa Di Merlimau, PAS Mencuba Lagi

Diterbitkan: Ahad, 13 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berentetan sejak pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Oktober 2009, Barisan Nasional kelihatan semakin mantap setelah menang lima daripada enam pilihan raya kecil yang diadakan.

Tidak mustahil juga ia bakal mengaut dua lagi kemenangan iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Merlimau di Melaka dan juga di Kerdau, Pahang, ekoran kematian penyandang kerusi itu Datuk Zaharuddin Abu Kassim malam tadi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Merlimau, iaitu pilihanraya kecil ke-15 selepas pilihan raya umum 2008, ditetapkan pada 26 Feb dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 6 Mac.

Jika berjaya di Merlimau dan juga di Kerdau, BN sepatutnya bakal mencatat tujuh kemenangan berturut-turut sejak pilihan raya kecil Bagan Pinang, jika tidak kalah kepada DAP pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Mei 2010.

Daripada 14 pilihan raya kecil, BN menang dua kerusi Parlimen (Hulu Selangor dan Batu Sapi) manakala selebihnya dimenangi Parti Keadilan Rakyat (Permatang Pauh), PAS (Kuala Terengganu dan Bukit Gantang) dan DAP (Sibu).

Bagi pilihan raya kecil kerusi DUN, BN setakat ini menang di Batang Ai, Bagan Pinang, Galas dan Tenang, selebihnya PKR (Bukit Selambau dan Penanti), PAS (Manek Urai dan Permatang Pasir).

Bagi pilihan raya kecil Merlimau, jentera BN di Melaka pantas membuat persiapan dengan meneliti senarai calon "boleh menang" seperti yang dihasratkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sebaliknya pakatan pembangkang sebelum ini bagaikan tidak sepakat apabila PKR dikatakan mahu meletakkan Ketua Pemudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Bagaimanapun pada mesyuarat Isnin lepas antara PKR, PAS dan DAP, diputuskan calon PAS diletakkan di kawasan itu.

Pemerhati politik berpendapat antara sebab keputusan itu ialah PAS mahu berusaha memperbaiki imej yang sudah tercalar selepas dua kekalahan sebelum ini iaitu Galas dan Tenang, selain mahu terus mencuba mempengaruhi pengundi Melayu yang merupakan majoriti di Merlimau.

PKR sebalikya dikatakan tidak mahu terjun ke "lembah kekalahan" memandangkan Merlimau adalah kubu BN.

Tambahan pula, pelbagai krisis dalaman PKR yang menyaksikan peletakan jawatan beberapa pemimpin tertinggi termasuk, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim dan Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan, yang juga Naib Presiden.

Beberapa pemimpin negeri terutama di Selangor juga mula meninggalkan parti serta peletakan jawatan ketua perhubungan PKR Sabah Pajudin Nordin.

PKR juga berdepan dengan masalah kredibiliti di Selangor ekoran tindakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak pelantikan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mohamad Khusrin Munawi walaupun pelantikan itu diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terbaru ialah isu derhaka ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei dan sudahpun didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut berhubung pelantikan Mohamad Khusrin.

Bagi BN, kesungguhan kerajaan bersama rakyat menghadapi bencana banjir dan membantu membawa keluar ribuan pelajar Malaysia di Mesir dijangka memberi kelebihan kepada parti pemerintah itu.

Usaha kerajaan yang turut mengembleng bantuan swasta dan hubungan diplomatik dengan Mesir dan Arab Saudi sememangnya harus dipuji.

Sebaliknya PKR yang sedar kelebihan kepada BN ekoran usaha itu cuba mencemuh apabila timbalan presidennya Azmin Ali mendakwa kedutaan Malaysia di Kaherah lambat bertindak, dan kononnya ia tidak dapat menghidu keadaan politik semasa di Mesir yang mahukan Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

PAS pula berdemonstrasi di depan Kedutaan Mesir di ibu kota serta memberikan RM120,000 untuk 1,281 pelajar Malaysia di sana.

Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berpendapat keputusan meletakkan calon Pas bertanding pada pilihan raya kecil Merlimau menunjukkan betapa PAS dan DAP tidak yakin terhadap kemampuan calon PKR.

"Pas dan DAP nampak perkara itu. PKR hanya mungkin dapat memberi alasan bahawa Pas sudah dua kali kalah sebelum ini," katanya kepada Bernama.

PAS pula, katanya, hanya mahu meletakkan calon, bertanding atas sebab mahu mempengaruhi pengundi Merlimau yang majoritinya adalah Melayu.

Beliau berkata DAP juga sedar calon PAS lebih baik daripada PKR kerana sokongan kepada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada orang Melayu terjejas sejak akhir-akhir ini.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya 2008 lalu Mohamad Hidhir menewaskan calon Pas Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

DUN Merlimau mempunyai 10,679 pemilih berdaftar, iaitu sebanyak 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

Ia merangkumi sebanyak 64.69 peratus pengundi Melayu, Cina (21.11 peratus), India (14.16 peratus) dan lain-lain (0.04 peratus). - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan