Tiada Toleransi Kepada Pusat Jagaan Jika Langgar Undang-Undang

Diterbitkan: Sabtu, 12 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pusat jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika melanggari undang-undang terutamanya terbabit dengan kes gangguan seksual dan keganasan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan meminta tenaga operasi serta pendidik di pusat jagaan berkenaan segera memaklumkan kepada JKM jika terdapat kes seperti itu di pusat jagaan mereka.

"Ini sebagai amaran dan apabila kita dapat tahu kes seperti ini (keganasan dan gangguan seksual) berlaku, JKM sendiri akan membuat laporan (polis) dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek kempen 'Mari Beramal Bersama Colgate' di Pusat Sains Negara di sini pada Sabtu.

Katanya, pencegahan awal perlu bagi mengelakkan penghuni di pusat jagaan terbabit menjadi mangsa keganasan dan penderaan.

"Kita sentiasa mengawasi pusat jagaan di bawah JKM bagi mengelak perkara yang melanggar undang-undang ini daripada berlaku," katanya.

Pada majlis itu Shahrizat menerima cek bernilai RM200,000 daripada Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (Colgate), Issam Bachaalani untuk disalurkan kepada 12 rumah anak yatim.

Antaranya ialah Rumah Kebajikan Anak Yatim/Miskin Klang, Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Yatim Selangor, Persatuan Pure Life, Rumah Sayangan, Jemaah Pengurusan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Ulu Gadong, Negeri Sembilan dan Rumah Tunas Harapan Semai Bakti.

Sementara itu, Bachaalani berkata kutipan RM200,000 itu melebihi sasaran asal RM120,000 yang ditetapkan sebelum pelancaran kempen.

Kempen 'Mari Beramal Bersama Colgate' yang dilancarkan pada 31 Julai lepas berlangsung selama dua bulan dengan jayanya apabila Colgate mengetepikan 20 sen daripada setiap pembelian pek kembar amal 'Colgate Kayu Sugi 175 gram' dan 'Colgate Perlindungan Kaviti Maksimum 175 gram'. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan