Najib Harap Proses Peralihan Kuasa Mesir Berjalan Lancar

Diterbitkan: Sabtu, 12 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap proses peralihan kuasa yang berlaku di Mesir berjalan dengan lancar tanpa sebarang ketegangan yang serius berikutan peletakan jawatan Presidennya, Hosni Mubarak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau yakin rakyat Mesir mampu menentukan masa depan mereka dengan baik serta berupaya menguruskan keadaan semasa sehingga proses pilihan raya umum bagi memilih kepimpinan baru diadakan.

"Saya harap peralihan kuasa di Mesir berjalan dengan keadaan yang licin dan tidak berlaku sebarang perkara yabng tidak diingini seperti keganasan atau ketegangan yang serius.

"Saya yakin rakyat Mesir akan menentukan masa depan mereka dan saya berharap keadaan ini dapat diuruskan dengan baik sehingga tiba masa untuk mengadakan pilihan raya umum," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terbaru konflik politik Mesir apabila Hosni tunduk kepada revolusi rakyat dan mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden selepas 30 tahun memerintah negara itu.

Pengumuman peletakan jawatannya dibuat oleh Naib Presiden, Omar Suleiman melalui satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira tengah Jumaat waktu Malaysia.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Malaysia berhasrat untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan kepimpinan Mesir yang baru kelak.

Najib juga berharap agar rakyat Mesir mendapat sebuah kerajaan baru berdasarkan kehendak mereka sendiri.

"Saya berharap mereka mendapat sebuah kerajaan baru yang akan memenuhi kehendak mereka serta akan memberi kepuasan kepada rakyat Mesir," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada pergolakan yang berlaku di Mesir, Najib berkata: "Kita tak boleh menyamakan apa yang berlaku (revolusi) kerana keadaan di sini tak sama.

"Di Malaysia kita telah lebih awal menyedari mengenai perkara ini apabila kita tekankan agar rakyat didahulukan...apapun dasar kita dan program kita mesti meletakan prinsip mendahulukan rakyat.

"Rakyat pun faham, asalkan kita mendahulukan rakyat dan memahami jangkaan rakyat bahawa kita ini mengambil tindakan dan rakyat merasai faedah hasil tindakan itu."

Berhubung sama ada kemungkinan pihak-pihak tertentu akan menggunakan pendekatan yang sama seperti di Mesir untuk berdemonstrasi, Najib berkata rakyat di negara ini matang dan berfikiran rasional.

"Mereka tahu mana yang hak dan yang batil, dan mana yang nak dieksploit oleh mana-mana pihak.

"Saya dah buat (penjelasan tentang) perkara ini. Semasa pergolakan di Mesir, majoriti Barisan Nasional bertambah di Tenang, jadi ini adalah petanda yang baik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berharap keadaaan politik di Mesir segera distabilkan dan kuasa pemerintahan yang baru dibuat secara proses demokrasi dengan rakyat mempunyai kuasa penentu.

Muhyiddin berkata kerajaan akan memaklumkan kepada penuntut Malaysia yang belajar di Mesir yang kini kembali ke Malaysia berikutan keadaan yang tidak aman di negara itu, mengenai perkembangan di Mesir dan bila mereka boleh kembali meneruskan pengajian.

Selain itu ia juga mengenai soal peperiksaan yang mereka perlu duduki dan sebagainya, katanya tanpa menjelaskan butiran mengenainya.

Sebelum ini, Najib mengumumkan bahawa Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan memikirkan tindakan seterusnya berhubung kedudukan penuntut Malaysia yang berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan