Injil Akan Diajar Di Sekolah Menengah Kerajaan Dan Mubaligh - Dompok

Diterbitkan: Sabtu, 12 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENAMPANG: Pengetahuan Injil kini boleh diajar di kalangan pelajar Kristian di sekolah menengah kerajaan dan sekolah mubaligh di seluruh negara selepas waktu belajar biasa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, yang mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal bagi Bumiputara Sabah dan Sarawak berkata keputusan bersejarah itu dicapai di mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Feb.

"Bagi pihak rakyat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana begitu sensitif terhadap kehendak dan aspirasi masyarakat, khususnya penganut Kristian.

"Kami yakin keputusan itu banyak membantu ke arah pencapaian sepenuhnya konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan klinik bergerak di sini pada Sabtu.

Beliau harap keputusan itu akan memberi lebih banyak masa dan lebih kondusif bagi pelajar berkenaan untuk menduduki peperiksaan subjek pilihan Pengetahuan Injil di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dompok, presiden Persatuan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), berkata jawatankuasa kabinet juga bersetuju dengan beberapa usul lain dikemukakan oleh Persektuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia tahun lepas.

Ini termasuk penubuhan kelab-kelab termasuk kelab agama di sekolah mubaligh yang hanya memerlukan kelulusan daripada guru besar atau pengetua, katanya.

Dompok berkata Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan satu pekeliling atau garis panduan mengenai perkara itu tidak lama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan