SPRM Tunggu Laporan Tony Pua Berkaitan Kapal Tempur

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu laporan daripada Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung dakwaannya bahawa kerajaan berbelanja lebih dalam pembelian enam buah Kapal Tempur Pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS).

Dalam satu portal berita tempatan baru-baru ini, Pua dilaporkan mendakwa kerajaan berbelanja 870 peratus lebih mahal daripada kos yang dikeluarkan oleh negara lain dengan meluluskan peruntukan RM6 bilion untuk membeli enam buah LCS itu.

"Kami memerlukan fakta yang terang dan asas bagi melakukan sesuatu siasatan ke atas apa saja dakwaan termasuk daripada Tony Pua," kata satu sumber SPRM di sini, Jumaat.

Beliau berkata SPRM mengalu-alukan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tampil memberi fakta dan asas-asas dakwaan yang dibuat supaya SPRM dapat menjalankan siasatan menjurus kepada dakwaan dengan jelas.

"SPRM tidak boleh membuat siasatan atas dakwaan yang liar dan tidak ada asas," kata sumber itu, dan menambah kata dakwaan yang tidak jelas hanya akan menjadi "tohmahan" semata-mata.

"Janganlah biarkan kami (SPRM) seperti tercari-cari sebatang jarum di atas padang rumput yang luas," katanya.

Sumber itu berkata sekiranya Pua tidak tampil, SPRM akan cuba menghubungi wakil rakyat DAP itu bagi mendapatkan fakta sahih untuk membuka kertas siasatan.

"Untuk mendapatkan fakta dan lihat ada asas untuk lakukan sesuatu siasatan, SPRM akan cuba menghubungi YB Pua sekiranya beliau tidak tampil," katanya.

Sumber itu, bagaimanapun, berkata tiada sebarang tempoh diberikan kepada Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara untuk tampil memberikan maklumat sebelum menghubunginya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dilaporkan mencabar Pua supaya melaporkan segala fakta pembelian LCS yang diperolehnya kepada SPRM untuk disiasat dan bukan menghebohkan perkara itu secara tidak bertanggungjawab di internet.

Katanya sebagai seorang pemimpin politik, Pua sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan sebarang tuduhan dan mesti berasaskan fakta kukuh serta terkini.

Sementara itu dalam penjelasannya, Panglima Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata harga material yang meningkat menyebabkan kos pembinaannya tinggi hingga mencecah RM6 bilion.

Beliau berkata kapal LCS yang akan dibina oleh syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard di negara ini dengan kerjasama enam limbungan terkemuka dari luar negara itu, mempunyai keupayaan jauh lebih baik berbanding Kapal Peronda Pesisir Pantai (OPV) yang digunakan TLDM sekarang.

"Kos itu merangkumi kos keseluruhan pembinaan kapal termasuk aspek persenjataan canggih, penderiaan dan radar berkeupayaan tinggi dan mempunyai sonar yang dapat mengesan kapal selam musuh."

"Industri pertahanan negara sedang membangun dan banyak bergantung kepakaran negara luar dan ini adalah punca utama kos harga kapal menjadi tinggi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan