JPJ Tidak Bercadang Benarkan Basikal Elektrik Di Jalan Raya

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak bercadang untuk membenarkan penggunaan basikal berkuasa elektrik di jalan raya atas beberapa faktor, kata Ketua Pengarahnya Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata basikal berkenaan yang berada di pasaran direka bentuk dengan kelajuan 40 km/sj berbeza dengan kajian keselamatan jalan raya dijalankan yang mana basikal bergerak dengan kelajuan 20 km/sj di atas jalan raya.

"Ini (kelajuan) akan meningkatkan risiko kecederaan kepada pejalan kaki apabila berlaku kemalangan terutamanya apabila penunggang basikal berkongsi laluan bersama pejalan kaki," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

JPJ menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai penggunaan dan pendaftaran basikal berkuasa elektrik itu. Beberapa syarikat pengedar kenderaan elektrik termasuk basikal elektrik menyatakan hasrat untuk mengedar dan memasarkan basikal itu ke negara ini.

Solah menjelaskan kemudahan infrastruktur untuk penunggang basikal seperti laluan khas sangat terhad kepada kawasan tertentu sahaja seperti kawasan perumahan dan taman rekreasi.

Katanya penunggang basikal yang menggunakan laluan selain daripada laluan khas itu mudah terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya yang kebiasaannya lebih serius berbanding dengan pengguna jalan raya yang lain.

Solah berkata penunggang motosikal merupakan golongan paling ramai terlibat dalam kemalangan maut jalan raya iaitu dalam lingkungan 60 peratus daripada jumlah keseluruhan yang direkodkan.

"Penggunaan basikal berkuasa elektrik tanpa kawalan akan memberikan kesan negatif kepada jumlah kemalangan jalan raya secara keseluruhan," katanya.

Basikal berkuasa elektrik ialah basikal yang mempunyai alat pengayuh dan motor elektrik serta bateri yang digunakan kebiasaannya daripada jenis lithium-ion, bagi menjana kuasa untuk menggerakkan basikal melalui motor elektrik.

Jarak perjalanan basikal berkenaan ditentukan oleh kapasiti bateri yang dihasilkan apabila dicaj penuh. Kelajuan basikal juga bergantung kepada jenis dan kapasiti bateri yang digunakan.

Kebanyakan negara menetapkan 25 km/j sebagai kelajuan maksimum sebuah basikal elektrik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan