Faktor-Faktor Dorong Najib Bawa Pulang Rakyat Malaysia Dari Mesir

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan di Mesir yang tidak terjamin dan kekurangan barang keperluan asas adalah antara punca utama kerajaan memutuskan untuk membawa balik lebih 11,000 rakyat Malaysia dari negara yang bergolak itu, kata setiausasha politik kepada Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak setelah menerima maklumat balas daripada Kedutaan Malaysia di Mesir serta kumpulan peninjau yang diketuai Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay yang berada di Mesir selama beberapa hari mulai 29 Jan.

Shahlan adalah antara kumpulan peninjau itu yang turut disertai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dan wakil Kementerian Luar.

Pada 1 Feb, Najib mengumumkan keputusan membawa pulang rakyat dan pelajar Malaysia setelah demonstrasi jalanan rakyat Mesir yang bermula 25 Jan semakin memuncak selepas rakyat Islam Mesir menunaikan solat Jumaat pada 28 Jan yang menyaksikan pertempuran antara anggota demonstrasi dan polis menjadi tidak terkawal sehingga ada bangunan kerajaan dibakar.

Shahlan memberitahu Bernama perkara yang turut diberi perhatian ialah kejadian tunjuk perasaan yang bukan sahaja tertumpu di Dataran Tahrir tetapi juga di Alexandria, Mansura, Dumyat, Suez, Tanta dan Iskandariah, serta tindakan kerajaan Mesir menguatkuasakan perintah berkurung setiap hari dari 5 petang hingga 8 pagi.

Beliau berkata kelemahan pihak penguatkuasa Mesir menangani demonstrasi jalanan itu telah menimbulkan kebimbangan kerana ini turut mengancam nyawa rakyat Malaysia.

Operasi perniagaan dan bank yang terhenti serta catuan bahan bakar adalah juga faktor yang diberi pertimbangan sebelum kerajaan membuat keputusan manakala ibu bapa pelajar Malaysia di Mesir juga mahu kerajaan mengambil tindakan segera membawa pulang anak-anak mereka, katanya.

"Pasukan kita telah turun ke padang untuk melihat keadaan yang berlaku dan kita telah memberi cadangan dan laporan untuk membawa pulang pelajar dan rakyat kita kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata Najib, sejurus menerima laporan itu daripada Mohammed Thajudeen, telah menghubungi Malaysia Airlines dan AirAsia untuk mendapatkan persetujuan menggunakan pesawat mereka untuk membawa balik rakyat Malaysia dari Mesir menerusi Ops Piramid.

Shahlan berkata Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempersiapkan kumpulan angkatan tentera untuk membantu operasi itu, selain menggerakkan kapal KD Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serbaguna Tentera Laut Diraja Malaysia yang bertugas di Teluk Aden.

Shahlan berkata bahawa di Mesir, Kohilan serta Kedutaan Malaysia bersama anggota pasukan peninjau yang lain memulakan operasi pemindahan rakyat Malaysia dengan proses mengumpul maklumat dan mengesan kesemua mereka, terutama pelajar.

Mereka mendapat bantuan pelbagai pihak termasuk Mara di Alexandria, pemimpin pelajar dan ejen-ejen yang terlibat dalam bidang pendidikan serta ustaz di beberapa cawangan Universiti Al-Azhar yang mempunyai pelajar Malaysia.

"Kami bekerjasama rapat bagi membolehkan kita mengetahui jumlah sebenar pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan," katanya.

Mohamed Thajudeen pula berkata pihaknya bertanggungjawab dalam mengenal pasti zon-zon selamat bagi memudahkan proses pemindahan rakyat Malaysia.

Katanya ini penting bagi memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia terjamin terutamanya ketika perintah berkurung dikuatkuasakan.

"Apabila kita nak menjamin keselamatan (rakyat Malaysia) perkara yang mustahak ialah kita kena kelompokkan mereka beramai-ramai terlebih dahulu. Kita tidak boleh biarkan mereka dalam kumpulan yang kecil sekitar dua atau tiga orang," katanya.

Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS, Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang, berkata sebaik menerima arahan untuk membuat penerbangan khas ke Kaherah, banyak perkara yang perlu diuruskan oleh syarikat itu antaranya jenis pesawat yang perlu digunakan, keperluan bahan bakar serta jumlah anak kapal yang sukarela bertugas.

"Alhamdulillah, semuanya kita dapat atasi dalam masa yang singkat dan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia," kata Mohd Nawawi yang turut menjadi juruterbang pesawat MAS dalam misi itu.

Menceritakan pengalamannya mendarat di lapangan terbang Kaherah, beliau tidak menafikan timbul perasaan risau kerana bimbang demonstrasi tunjuk perasaan akan merebak ke situ.

"Tapi demi tugas, saya perlu fokus kepada penerbangan bagi menjamin keselamatan rakyat kita," katanya.

Dalam laman blognya semalam, Najib melahirkan penghargaannya kepada semua pihak yang terlibat membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dan pulang dengan selamat ke tanah air.

Perdana Menteri menyifatkan Ops Piramid sebagai lambang 1Malaysia. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan