Haramkan 'My Balik Pulau' Kerana Ia Berbahaya - NGO - Berita Semasa | mStar

Haramkan 'My Balik Pulau' Kerana Ia Berbahaya - NGO

Diterbitkan: Rabu, 9 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Gabungan Bela Hak Islam (Gabungan) mahu kerajaan DAP Pulau Pinang mengharamkan risalah 'My Balik Pulau' yang didakwa mengandungi maklumat salah yang berbahaya serta mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.

Presiden Gabungan Mohamed Nordin Mohd Nor berkata risalah itu dengan sengaja cuba melupuskan sejarah awal orang Melayu di Pulau Pinang dan boleh mengelirukan generasi muda khususnya pelajar sekolah.

"Kami rasa amat kecewa dengan maklumat yang terkandung dalam 'My Balik Pulau', banyak penyelewengan fakta sejarah dan boleh mengelirukan, ini sangat bahaya," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata majalah itu juga seolah-olah menghina orang Melayu asal Pulau Pinang serta mempunyai motif politik dan perkauman yang tidak sihat.

Gabungan yang dianggotai oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berpusat di Pulau Pinang itu juga menggesa kerajaan negeri supaya membuat kenyataan bagi menerangkan kepada rakyat bahawa terdapat pemalsuan fakta sejarah dan penghinaan kepada orang Melayu dalam risalah 'My Balik Pulau'.

Empat NGO yang bergabung dalam Gabungan ialah Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), Badan Anti Islam Liberal (Badai), Islamic Provocation International Society (IPIS) dan Sekretariat Dakwah Pulau Pinang.

Risalah 'My Balik Pulau' mengandungi 12 muka surat diterbitkan oleh Arts-ED dan Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang. Ia ditaja oleh Majlis Pendidikan Pulau Pinang, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pulau Pinang dan Syarikat Telekomunikasi DiGi.

Selain menggunakan maklumat yang salah, artikel berkenaan juga didakwa menghina orang Melayu di Balik Pulau yang dikatakan pelarian perang dan sanggup menggadai tanah semata-mata untuk mengadakan upacara besar-besaran seperti majlis perkahwinan.

Mohamed Nordin berkata jika kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan, perkara itu akan dibawa ke peringkat pusat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan