Selangor Tawar Kerjasama Dengan Pusat Bantu Pelajar Mesir

Diterbitkan: Selasa, 8 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu semua penuntut Malaysia yang kembali ke negara ini ekoran kekecohan politik di Mesir.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan kebajikan semua penuntut tidak terabai dan tidak hilang arah selepas kembali ke negara ini.

Katanya, penekanan terhadap kebajikan para penuntut itu penting kerana tidak mahu membiarkan mereka terumbang-ambing ekoran masalah politik negara itu.

"Kita tidak tahu sampai bila pergolakan politik akan terus berlaku di Mesir. Atas dasar itu kita perlu memastikan semua penuntut yang pulang perlu dibantu supaya masa mereka terisi dengan aktiviti," katanya semasa menjadi panel forum membincangkan mengenai pergolakan di Mesir di sini Selasa.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pihak Universiti Industri Selangor (Unisel) dan beberapa pusat pengajian lain bagi menjalankan beberapa kursus jangka pendek khusus untuk penuntut-penuntut yang pulang.

Katanya, kursus jangka pendek itu penting bagi memastikan semua penuntut tidak berasa tertekan selain masa senggang mereka tidak dibazirkan bergitu sahaja dengan sebanyak 1,280 penuntut dari negeri itu akan diberi keutamaan.

Tambahnya lagi, sebahagian penuntut yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama juga akan ditempatkan di masjid atau sekolah agama bagi sebagai pengajar fardhu ain kepada pelajar-pelajar di sini buat sementara waktu.

"Kita akan cuba sedaya upaya membantu mereka supaya masa terluang mereka dapat dimanfaatkan," katanya.

Dalam pada itu, Halimah turut memberitahu, pihak kerajaan negeri juga telah mewujudkan sebuah bilik operasi untuk memudahkan ibu bapa atau ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat mengenai keadaan di Mesir dan ahli keluarga mereka yang masih terperangkap di sana.

Ujarnya, tujuan bilik operasi itu diadakan bagi mengurangkan bebanan Wisma Putra yang mungkin tidak dapat melayan semua panggilan dan pertanyaan yang diajukan kepada mereka.

"Saya sendiri telah pergi ke Wisma Putra dan melihat keadaan di bilik gerakan di sana yang ternyata tidak mencukupi kakitangan untuk melayan semua panggilan yang masuk.

"Atas dasar itu dengan kerjasama pihak Wisma Putra juga kita telah mewujudkan bilik operasi sendiri dengan talian hotline untuk melancarkan lagi proses sedia ada," ujarnya.

Sementara itu, forum yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar itu membincangkan mengenai situasi semasa pergolakan di Mesir yang mahukan rejim Hosni Mubarak berundur daripada memerintah negara itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan