Peperiksaan: Kementerian Akan Runding Dengan Universiti Di Mesir

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan rundingan dengan pihak universiti di Mesir bagi mengenal pasti sama ada mereka bersedia untuk membenarkan pelajar Malaysia yang belum menduduki peperiksaan mereka, dibuat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar Malaysia dalam bidang perubatan menduduki peperiksaan tersebut di universiti tempatan yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini.

Katanya seramai 1,200 pelajar perubatan yang belum menduduki peperiksaan mereka yang dijadualkan pada 12 Februari ini, membabitkan 1,000 pelajar daripada Universiti Tanta dan 200 lagi Universiti Al-Azhar.

"Kita akan berunding dengan semua universiti itu untuk bertanya sama ada mereka bersedia untuk lakukan itu.

"Jika mereka bersedia, maka kementerian akan mengaturkan di universiti tempatan yang boleh menampung untuk menjayakan peperiksaan itu," katanya kepada pemberita selepas sambutan ketibaan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Isnin.

Mohamed Khaled berkata universiti tempatan bersetuju untuk melaksanakan peperiksaan itu pada awal Mac ini iaitu agak lewat daripada jadual yang ditetapkan.

Katanya terdapat kira-kira 11,000 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti Mesir iaitu, 5,000 pelajar dalam bidang perubatan dan 6,000 lagi dalam jurusan agama.

Pada satu majlis lain, Mohamed Khaled berkata sebarang isu dan masalah melibatkan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir akan dibincangkan di peringkat kabinet secepat mungkin.

"Kita sudah menyenaraikan semua isu itu untuk dibincangkan contohnya katalah sebulan dah selesai (rusuhan), bagaimana soal nak (hantar pelajar) balik pula," katanya.

Berikutan pelbagai aduan yang diterima daripada pelbagai pihak terutama membabitkan masa depan pelajar, beliau berkata kementerian memerlukan masa untuk menyelesaikan sebarang perkara berbangkit kerana ia melibatkan jumlah pelajar yang ramai.

"Tidak mudah untuk kita selesaikan sekaligus (semua masalah) buat masa ini. Kena pergi satu persatu dan lihat keadaan dari semasa ke semasa di Mesir, kemudian barulah kita akan memberi pelbagai penyelesaian kepada isu dihadapi," katanya.

Beliau juga berkata buat masa ini tiada pelajar baru dalam bidang perubatan akan dihantar ke Mesir kerana kementerian tidak akan mengeluarkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) kepada mereka.

SSLN adalah syarat yang dikenakan kepada pelajar yang ingin mengikuti kursus-kursus di luar negara bagi menentukan mereka memenuhi syarat kelayakan minimum untuk mengikuti program pengajian ke luar negara atau digunakan untuk memperoleh visa pelajar daripada kedutaan negara luar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan di negara berkaitan.

Mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Kedah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul semalam mengenai 133 pelajar dari negeri itu yang tidak diketahui kedudukan mereka sama ada sudah pulang ke Malaysia atau masih berada di negara itu atau di negara lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan pusat sedia memberi bantuan.

"Kalau mereka ingin mendapat kerjasama, kita boleh membantu, jika mereka masih di Kaherah atau dalam Mesir...takut mereka berada di tempat lain kerana ketika ini musim cuti semester. Kita bersedia jika kerajaan negeri Kedah nak hubungi kita jika perlu kerjasama," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan akan berbincang dengan pengurusan universiti-universiti di Mesir, bila tarikh pelajar Malaysia boleh pulang ke negara berkenaan untuk menyambung pengajian mereka.

Beliau berkata setakat ini, kebanyakan universiti di Mesir tidak dapat menentukan tarikh ia akan dibuka semula, berikutan situasi keganasan di negara berkenaan.

"Mereka perlu selaraskan segala maklumat terkini bagi memudahkan pelajar membuat rujukan bila mereka boleh kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas tiba bersama kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Ditanya mengenai jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir dan tidak pulang ke sini, beliau tidak dapat memberi angka yang sebenar.

"Kita tidak boleh memaksa (mereka kembali ke tanah air). Mereka membuat keputusan untuk tidak pulang kerana berpendapat keadaan di sana semakin baik dan ada yang bekerja," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir supaya berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah jika menghadapi masalah atau berhasrat untuk pulang ke tanah air.- BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan