MATRADE Jangka MSE 2011 Rangsang Sektor Perkhidmatan

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan Pameran Perkhidmatan Malaysia 2011 (MSE 2011) akan mempromosi sektor perkhidmatan negara di negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Timur Tengah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamad Kamarudin Hassan berkata acara itu yang akan berlangsung di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 17 hingga 20 April, akan memberi tumpuan dalam mempromosi enam kelompok perkhidmatan utama sektor perkhidmatan Malaysia.

Kelompok itu ialah pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, perkhidmatan pengurusan alam sekitar, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), minyak dan gas, perkhidmatan profesional, tenaga diperbaharui dan penjanaan tenaga selain perkhidmatan perniagaan dan latihan khusus, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MATRADE, Isnin.

Kamarudin berkata pelbagai inisiatif promosi serta dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah mendapat penerimaan meluas daripada syarikat-syarikat Malaysia di luar negara berdasarkan keupayaan dan pelbagai projek di Timur Tengah, daripada pembinaan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas sehingglah ICT.

MSE 2011 katanya akan menyediakan platform yang ideal untuk para penyedia perkhidmatan Malaysia untuk terus memperluas capaikan kepada perniagaan dan kerajaan di GCC dan rantau berjirannya.

Dianjurkan untuk tahun keempat berturut-turut, MSE 2011 bakal menyaksikan penyertaan 150 peserta yang membabitkan 120 penyedia perkhidmatan Malaysia dan 30 agensi kerajaan serta sektor perkhidmatan berkaitan.

Acara itu pertama kali diadakan serentak dengan pameran antarabangsa UAE - City Scape dan City Build - dengan harapan menarik 35,000 pengunjung dari kedua-dua pameran itu untuk turut serta ke MSE 2011.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan