Khalid Ibrahim-Mohammed Khusrin Bertentang Mata Agih Tugas

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Demi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan lancar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersemuka buat pertama kali secara rasmi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi di pejabatnya dekat sini, Isnin.

Pada pertemuan kira-kira pukul 5 petang itu yang diadakan untuk memastikan keperluan rakyat negeri itu diutamakan, Abdul Khalid mengarahkan Mohammed Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik Kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memberitahu, beliau mahu SUK tersebut bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

"Mohammed Khusrin juga disarankan mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Selain itu, SUK diminta menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik Kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Abdul Khalid mahu Mohammed Khusrin meneruskan usaha-usaha menangani masalah kecurian pasir yang boleh mengganggu pendapatan kerajaan negeri dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah menunjukkan kejayaan cemerlang menerusi peningkatan pembayaran royalti yang berlipat kali ganda sejak 2008.

Pada 27 Januari lalu Abdul Khalid menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan SUK baru itu selepas kerajaan negeri gagal meminda Perlembagaan Selangir bagi memilih SUK, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri.

Kontroversi pelantikan SUK baru itu bermula apabila Abdul Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Bagaimanapun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang dimumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Pengumuman tersebut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan