Kerajaan Belum Cadang Naikkan Harga Petrol Dan Diesel - Ismail Sabri

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kerajaan belum bercadang menaikkan harga petrol dan diesel sekalipun harga minyak mentah dunia kini telah mencecah USD$100 setong.

Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kabinet juga belum membincangkan mengenai kenaikan harga bahan tersebut.

"Kerajaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak kerana kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum kenaikannya diumumkan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Bera di Triang, dekat sini, Ahad.

Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata berdasarkan situasi semasa, harga minyak mentah dunia dilihat akan semakin meningkat, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan.

"Kenaikan harga minyak dunia tidak dapat dielakkan, ketika ini pun berlaku pergolakan di Mesir yang juga pengeluar minyak dunia, secara tidak langsung turut menjejaskan pengeluaran minyak dunia," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata rakyat di negara ini masih menikmati harga minyak yang murah berbanding negara serantau.

"Rakyat Malaysia sebenarnya masih beruntung kerana kerajaan prihatin memberikan subsidi, sepatutnya kita bersyukurlah," katanya.

Katanya sepanjang tahun lepas, memperuntukkan subsidi berjumlah RM6.3 bilion tahun lepas untuk petrol dan diesel.

"Sebanyak RM3.3 bilion bagi subsidi petrol RON 95 dan bakinya subsidi diesel," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan