Kejayaan Misi Nasional Selamatkan Rakyat Malaysia - Najib

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha membawa pulang kumpulan pertama rakyat dan pelajar Malaysia dari Mesir pulang ke negara ini adalah misi nasional bagi menyelamatkan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai misi untuk kepentingan negara tanpa membabitkan pertimbangan politik dan ideologi kerana keutamaannya adalah menyelamatkan rakyat Malaysia.

Selain itu katanya, kerajaan sentiasa membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Jelas sekali bahawa gagasan 1Malaysia begitu menyerlah dalam misi nasional ini.

"Kita berjaya kerana kita bersatu. Kita berjaya kerana warga Malaysia dan terikat dengan semangat bersama iaitu semangat 1Malaysia," katanya selepas menyambut ketibaan pelajar dan rakyat Malaysia dari Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.

Najib berkata, ketibaan kumpulan pertama itu merupakan satu kelegaan tidak terhingga kepada semua pihak yang begitu bimbang terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Mesir ekoran pergolakan yang sedang berlaku di negara itu.

"Keadaan di sana sudah tidak ada lagi pentadbiran awam dan berasaskan undang-undang menyebabkan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Maka kami mengambil keputusan dalam apa jua keadaan untuk melancarkan misi menyelamatkan pelajar dan warga Malaysia.

"Mereka mestilah diselamatkan dengan kadar segera yang boleh," katanya.

Namun beliau berkata, operasi tersebut bukan mudah kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih 10,000 orang maka perlu dibuat perancangan teliti.

"Kita mesti bawa mereka keluar dari Kaherah ke Jeddah dahulu. Kalau kita ikut perasaan, kita nak bawa mereka terus balik.

"Tetapi ramai lagi yang akan tertinggal di Mesir dan tidak adil untuk ribuan yang lain dalam keadaan di sana tidak menentu," katanya.

Tambahnya lagi, mereka akan hanya dibawa pulang selepas kesemuanya selamat keluar dari Mesir.

Najib menyifatkan segala usaha dan perancangan yang dilakukan adalah tepat dan dapat melihat hasilnya pada hari ini dengan membawa kumpulan pertama ke Malaysia.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia yang merupakan contoh baik bahawa apabila melibatkan kepentingan negara, mereka turut sama dalam misi ini.

"Ini termasuk Lembaga Tabung Haji bagi pengurusan di Jeddah serta Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi kerana memberi kelulusan khas kepada Malaysia bagi memastikan rakyat Malaysia di Mesir dibawa pulang dengan selamat.

"Mereka juga menyumbangkan dua pesawat Saudi Air 747 bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang menjangkakan ketibaan kumpulan pertama menerusi pesawat itu pada lusa (Rabu)," katanya.

Najib berkata, di atas pertimbangan kerajaan bersama MAS, AirAsia dan Tabung Haji, segala perbelanjaan membawa pelajar balik ditangguh sepenuhnya supaya tidak membebankan mereka.

"Yang penting adalah semua urusan berjalan dengan baik dan matlamat dapat dicapai dengan sepenuhnya.

"Saya berharap agar semua penerbangan lain akan selamat tiba ke negara ini. Pada masa yang sama akan memantau keadaan apa yang boleh dilakukan selepas ini seperti berbincang dengan pihak universiti di sana untuk mengadakan peperiksaan di sini," katanya.

Seramai 778 rakyat Malaysia menerusi kumpulan pertama dengan sebahagian besarnya adalah pelajar yang menuntut di negara yang kini bergolak itu selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini pagi Isnin.

Sebanyak dua pesawat yang membawa mereka pulang dari Jeddah ke Kuala Lumpur iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH8029 dengan seramai 459 penumpang tiba pada pukul 10 pagi manakala pesawat AirAsia tiba 20 minit kemudian yang membawa 319 penumpang.

Kesemuanya disambut oleh Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri-Menteri Kabinet.

Ini termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta Timbalannya, Senator A. Kohilan Pillay dan Datuk Richard Riot Anak Jaem

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan