Shahrizat Gesa Sektor Swasta Bantu Mangsa Banjir

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEMAS: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menggesa sektor korporat dan swasta agar turut membantu mangsa banjir sebagai sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial mereka.

Katanya bantuan itu bukan sekadar dalam bentuk kebendaan, tetapi juga tenaga kerja yang pada masa ini amat diperlukan mangsa banjir bagi membersihkan kediaman mereka.

"Kita minta syarikat yang kaya-raya ini jangan harap kerajaan sahaja yang membanting tulang. Mereka kena ambil inisiatif sendiri, ini semua kemahuan individu dan tidak perlu gerakan besar-besaran," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa bencana itu di Taman Sungai Gemas, Sabtu.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno turut mendedahkan bantuan yang diterima daripada sektor swasta untuk mangsa banjir kali ini masih sedikit.

Mengulas mengenai bencana banjir secara keseluruhan, beliau berkata daripada 456 buah pusat pemindahan yang dibuka, 19 sudah ditutup dan kira-kira 54,000 mangsa banjir daripada 85,160 orang sudah pulang ke rumah mereka.

Shahrizat sebelum itu mengetuai Skuad Sayang Wanita Barisan Nasional turut membantu penduduk terbabit membersih dan mengemas rumah yang kotor dan rosak akibat bencana itu.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan