Pusat Transit Madinatul Hujaj Semakin Dipenuhi Penuntut Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JEDDAH: Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi akan memikirkan kaedah lain bagi menempatkan para penuntut Malaysia dari Mesir sekiranya jumlahnya melebihi keupayaan pusat transit Madinatul Hujaj di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehingga kini lebih 3,600 orang penuntut telah ditempatkan di pusat transit itu yang boleh menampung sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa.

"Bagaimanapun ini bukan menjadi masalah kerana pihak Tabung Haji berpengalaman menguruskan sehingga hampir 30,000 orang jemaah haji setiap kali musim haji.

"Kita sedang menambah bilangan tilam dan bantal yang boleh digunakan pelajar kita. Pada Ahad penghantaran pulang sebahagian pelajar akan membolehkan kita mengurangkan kepadatan dan menerima pelajar lain yang baru sampai dari Kaherah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Sabtu.

Jamil Khir berkata, daripada maklumbalas yang diterima ternyata para penuntut berpuas hati dengan kemudahan yang diberikan di pusat transit itu.

"Pelajar kita amat berpuas hati dengan kemudahan di Madinatul Hujaj terutamanya tempat tinggal.

"Kemudahan lain juga turut disediakan, termasuk wifi untuk mereka senang berhubung dengan keluarga dan juga televisyen di beberapa tempat untuk mudah mereka mengikuti perkembangan semasa," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan