PKR Bentuk Majlis Presiden PKR Sabah

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENAMPANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan untuk membentuk Majlis Presiden PKR Sabah khusus bagi menerajui kepimpinan parti itu di Sabah.

Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertindak sebagai pengerusi interim Majlis itu, manakala anggotanya yang terdiri daripada kalangan ketua-ketua cabang PKR di Sabah, akan diumum senarainya tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita pada Ahad selepas menghadiri mesyuarat bersama ketua-ketua cabang PKR Sabah di pejabat PKR Negeri, Wan Azizah berkata kepimpinan ketua-ketua cabang itu mencapai persetujuan dengan majlis pimpinan pusat untuk menubuhkan Majlis Presiden PKR Sabah yang dianggotai oleh 11 anggota khusus bagi menerajui kepimpinan PKR negeri.

Katanya majlis ini akan bergerak di seluruh Sabah bulan ini dan bulan depan bagi mendapatkan maklum balas rakyat untuk digarap dalam dokumen manifesto mengenai isu-isu Sabah yang akan dibentangkan dalam konvensyen PKR Sabah pada akhir Mac ini.

Beliau berkata ia bertujuan mengembalikan fokus PKR Sabah yang ketika ini dilanda kemelut kepimpinan, ke arah menangani isu-isu berkaitan rakyat.

Semalam dalam satu persidangan akhbar bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Pajudin Nordin mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua perhubungan PKR Sabah dan keluar dari parti itu, di samping memohon untuk menyertai Umno.

Mengulas tindakan Pajudin meninggalkan parti itu, Dr Wan Azizah cuma berkata "Kami harap dia sejahtera, dia sudah buat keputusan, memang saya sedikit terkejut dengan tindakannya".-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan