Lanun Somalia Disambung Reman Enam Hari

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tujuh rakyat Somalia yang diberkas oleh anggota tentera Malaysia ekoran cuba merompak sebuah kapal Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, disambung reman enam hari sehingga 12 Februari ini.

Perintah reman terhadap ketujuh-tujuh rakyat Somalia itu dikeluarkan oleh Majistret Zulkifli Abdullah di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil dekat sini.

Ketujuh-tujuh lanun itu tiba pukul 8.30 pagi dan dibawa keluar dari Pusat Tahanan Sementara terbabit pada 11.40 pagi dengan menaiki sebuah bas polis dan diiringi beberapa kenderaan polis dari pusat tersebut.

Kesemua lanun terbabit memakai baju lokap berwarna oren dan digari tangan itu diiringi beberapa pegawai polis yang bertugas sebelum mereka dibawa keluar dari pusat tahanan terbabit.

Difahamkan, mereka dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, kesemua lanun terbabit telah ditahan reman tujuh hari berakhir hari ini di pusat tahanan yang sama.

Dalam kejadian pada 11.40 malam 20 Jan lalu, anggota tentera Malaysia yang ditugaskan memberi pelindungan kepada kapal-kapal minyak dan dagang negara ini yang melalui perairan Teluk Aden dekat Somalia, telah menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel yang ditawan oleh tujuh lanun dari Somalia itu yang bersenjatakan senapang dan pistol.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, laporan siasatan terhadap kes itu masih belum lengkap sepenuhnya.

"Siasatan kes ini masih berjalan sebab itu kita perlu lanjutkan tempoh reman untuk lengkapkan siasatan. Kita juga perlu berbincang dengan Peguam Negara sebelum mereka ini dihadapkan ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan