Krisis Mesir Tidak Beri Impak Terhadap Sektor Dagangan Negara - Ahmad Husni

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pergolakan politik yang tercetus di Mesir tidak mejejaskan dan memberi impak terhadap ekonomi negara memandangkan nilai dagangan serta pelaburan dua hala antara kedua-dua negara terlalu kecil, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai hubungan perdagangan yang besar dengan Mesir dan negara yang mempunyai 80 juta penduduk itu banyak bergantung kepada perdagangan dalam negara sendiri untuk menjana ekonominya.

"Dalam erti kata lain, krisis di Mesir itu tidak melibatkan ekonomi negara kita kerana perdagangan negara kita dengan Mesir atau Mesir dengan negara kita adalah terlalu kecil, hanya dalam peratusan yang sangat kecil," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan-persatuan Kaum Cina Tanjung Rambutan di sini berkata perdagangan Malaysia yang terbesar adalah dengan negara Asean, China, negara Asia Barat, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, terutama Jerman.

"Dari aspek perdagangan Malaysia dengan negara-negara Timur Tengah juga tidak besar," katanya.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata yang lebih membimbangkan ialah krisis tersebut akan menjejaskan rakyat negara ini yang tinggal dan bekerja di sana, terutama golongan pelajar.

Mesir kini menghadapi krisis politik apabila berpuluh ribu rakyat berdemonstrasi sejak seminggu lepas, mendesak Presiden Hosni Mubarak, yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun, segera berundur.

Selain Kaherah, tunjuk perasaan turut berlaku di bandar-bandar besar lain seperti Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan